TNB,TM perluas tenaga hijau, infrastruktur digital

TNB,TM perluas tenaga hijau, infrastruktur digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) memperkukuh kerjasama dalam solusi tenaga hijau serta membangunkan infrastruktur tenaga dan telekomunikasi yang lebih pintar, mampan dan saling berhubung di seluruh negara. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, sebagai pelaksanaan awal kerjasama ini, pihaknya menilai potensi pemasangan sistem solar di sehingga 150 premis TM selain menyasarkan peluasan pemasangan kepada lebih banyak kediaman Unifi Home pelanggan setiap tahun. 

Katanya, melalui GSPARX, pakej sistem solar akan terus ditambah baik agar memberi nilai tambah kepada pengguna. 

“Selain itu, peningkatan rangkaian stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) turut dirangka dalam pelaksanaan kerjasama ini. 

“Dengan pertambahan stesen pengecasan, pengguna EV mempunyai lebih banyak lokasi untuk mengecas, sekali gus memberikan kemudahan dan pengalaman penggunaan yang lebih baik. 

“TNB juga komited menyokong NETR bagi mempertingkat penggunaan tenaga boleh baharu serta memperkukuh agenda peralihan negara ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.

Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan pada 9 Mac lalu, bertujuan menggabungkan kepakaran tenaga hijau dan digital kedua-dua syarikat, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) serta agenda transformasi digital negara. 

Kerjasama itu memfokuskan penyelesaian tenaga mampan, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi manfaat langsung pelanggan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, TM dan TNB mewakili dua tonggak utama infrastruktur kritikal Malaysia dan kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk memperkukuh ekosistem tenaga dan digital negara secara mampan serta bersedia untuk masa hadapan. 

“Dengan menggabungkan kepimpinan TNB dalam tenaga boleh diperbaharui bersama kekuatan TM dalam infrastruktur digital seluruh negara, kesalinghubungan dan keupayaan kecerdasan buatan (AI), saya yakin kerjasama ini akan mewujudkan nilai kepada kedua-dua organisasi.

“Selaras dengan aspirasi Digital Powerhouse 2030, kerjasama ini mencerminkan usaha TM dalam memperkasa transformasi digital merentasi sektor-sektor utama negara,” tambahnya. 

Kerjasama TNB dan TM Memfokuskan kepada tiga bidang utama, penyelesaian tenaga lestari, TNB melalui solusi GSPARX dan TNB Electron, bersama TM akan melaksanakan inisiatif berkaitan tenaga hijau seperti pemasangan solar di bangunan, penyelesaian solar secara pakej serta perluasan rangkaian pengecas EV. 

“Dengan memanfaatkan teknologi digital, usaha ini dapat membantu mengurus penggunaan tenaga dengan lebih cekap serta menggalakkan penggunaan tenaga hijau,” katanya. 

Selain itu,memperkasa Teknologi Digital antara TM dan TNB akan meneroka kerjasama dalam bidang teknologi digital dan inovasi sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh keupayaan digital organisasi. 

“Inisiatif ini dijangka menyokong peningkatan kecekapan operasi, pengalaman pelanggan serta pembangunan ekosistem digital yang lebih mampan,” katanya.

Seterusnya, penyumberan ICT secara strategik, kedua-dua syarikat akan menilai kaedah penyumberan perkhidmatan sedia ada secara lebih tersusun serta penjajaran harga yang lebih kompetitif. 

“Inisiatif ini bertujuan memastikan rantaian bekalan yang lebih kukuh, penjimatan kos dan ketersediaan digital yang lebih mampan untuk jangka panjang. 

Di bawah kerjasama ini, pelanggan berpotensi mengurangkan kos operasi, menikmati kemudahan pengecasan EV di lokasi terpilih, serta memanfaatkan sistem digital pintar dan analitik berasaskan AI untuk memantau penggunaan tenaga, mengesan gangguan lebih awal dan mempercepat pemulihan bekalan sekali gus meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan. 

Hubungan antara TNB dan TM telah lama terjalin, termasuk sokongan rangkaian komunikasi ke pencawang utama, perkhidmatan SMS dan pusat panggilan awan (cloud) serta kerjasama dalam program tenaga hijau. 

Sehingga 31 Disember 2025, GSPARX, yang secara rasmi ditubuhkan pada Januari 2018, berjaya memperoleh lebih daripada 530MW projek solar bumbung, menyokong penggunaan tenaga boleh baharu di lebih 3,000 kediaman dan premis komersial. 

Selain itu, TNB telah memasang sekitar 256 stesen pengecasan EV di seluruh negara di bawah jenama TNB Electron, menyediakan fasiliti grid serta sokongan elektrik bagi operasi pengecasan, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat dalam menyediakan penyelesaian tenaga hijau dan bersepadu kepada pelanggan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN