Terma perdagangan meningkat kepada 124.9 mata pada Februari 

Terma perdagangan meningkat kepada 124.9 mata pada Februari 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terma perdagangan Malaysia meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 124.9 mata pada Februari daripada 124.5 mata bulan sebelumnya, menurut laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100), Februari 2026.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong oleh kenaikan dalam indeks minyak galian (+5.5 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.2 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (+0.8 peratus). 

“Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun pula bertambah 5.7 peratus daripada 118.2 mata pada Februari tahun lalu.

“Indeks nilai seunit eksport Malaysia pada Februari 2026 pula mencatatkan penurunan 0.01 peratus kepada 153.11 mata pada Februari daripada 153.12 mata pada bulan sebelumnya, 

“Ini disumbangkan oleh kejatuhan dalam indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-1.8 peratus), barang-barang keluaran kilang (-0.5 peratus) dan minyak galian (-0.2 peratus),” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, indeks volum eksport turut menurun 10.8 peratus selaras dengan penurunan dalam indeks minyak galian (-18.0 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-13.7 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-11.4 peratus).

“Sementara itu, indeks volum eksport pelarasan bermusim menurun 11.2 peratus daripada 179.0 mata kepada 158.9 mata. 

“Merujuk kepada perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks volum eksport meningkat 1.1 peratus dan 9.5 peratus,” katanya.

Mohd. Uzir berkata, indeks nilai seunit import pula menurun 0.3 peratus kepada 122.6 mata daripada 123.0 mata, disumbangkan oleh penurunan dalam indeks minyak galian (-5.4 peratus), bahan kimia (-0.4 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.1 peratus). 

“Sementara itu, indeks volum import turut menurun 8.2 peratus pada Februari berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh penurunan dalam indeks minyak galian (-21.3 peratus), barang-barang keluaran kilang (-15.8 peratus) dan bahan kimia (-12.9 peratus). 

“Indeks volum import pelarasan bermusim menurun 9.0 peratus daripada 168.0 mata kepada 152.9 mata. 

“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import menurun 4.3 peratus manakala indeks volum import menaik 13.0 peratus,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN