TDM Agrobiz terima sijil MyGAP 

TDM Agrobiz terima sijil MyGAP 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TDM Berhad (TDM) melalui anak syarikatnya, TDM Agrobiz Sdn. Bhd. (TDM Agrobiz) menerima pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu sebagai pengiktirafan terhadap amalan pertanian yang berkualiti, selamat dan mampan yang dilaksanakan oleh syarikat. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan TDM dalam memperkukuh sektor agro makanan tempatan serta menyokong agenda keselamatan makanan negara. 

“Pensijilan MyGAP ini merupakan satu pencapaian penting bagi TDM Agrobiz dalam memastikan setiap proses penanaman dan pengeluaran hasil pertanian mematuhi standard amalan pertanian terbaik. 

“Melalui inisiatif ini, kami bukan sahaja menumpukan kepada pengeluaran hasil yang berkualiti dan selamat, malah turut berusaha memastikan bekalan agro makanan tempatan kekal stabil serta mampu menyokong keperluan pasaran domestik,” katanya dalam kenyataan.

MyGAP dikeluarkan dan diuruskan oleh Jabatan Pertanian Malaysia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merupakan skim pensijilan untuk ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik, selamat, berkualiti, dan mampan bagi pasaran tempatan serta antarabangsa.

Sejak Januari 2025, TDM Agrobiz telah melaksanakan inisiatif bagi menangani isu bekalan cili yang sering terjejas terutamanya ketika musim tengkujuh. 

Melalui penggunaan kaedah penanaman di bawah Rumah Pelindung Hujan (RPH), tanaman cili dapat dilindungi daripada perubahan cuaca termasuk hujan lebat dan panas melampau. 

Pendekatan ini memastikan pengeluaran lebih konsisten, menstabilkan harga pasaran, serta mengurangkan kebergantungan kepada produk import.

Pengurus Besar TDM Agrobiz, Zharudin Narudin berkata, pensijilan MyGAP ini turut memperkukuh usaha syarikat dalam meningkatkan kecekapan operasi dan pengeluaran hasil pertanian berkualiti tinggi. 

“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada TDM Agrobiz untuk terus memperluaskan projek agro makanan secara mampan. 

“Kami komited untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri dan pemain pasaran bagi memastikan bekalan hasil pertanian tempatan sentiasa mencukupi dan berdaya saing,” katanya. 

Melalui inisiatif-inisiatif ini, TDM Agrobiz berharap dapat terus menyokong pembangunan sektor agro makanan negara, meningkatkan pengeluaran hasil tempatan serta memastikan bekalan makanan yang berkualiti dan mampan untuk pasaran domestik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN