PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan sistem giliran digital, ‘TH Digital Queue’ di seluruh cawangannya bermula 15 Mac lalu sebagai usaha berterusan memartabatkan agenda pendigitalan institusi berkenaan.
Inisiatif terbaharu itu membolehkan 9.7 juta pendeposit menguruskan masa dengan lebih efisien tanpa perlu menunggu lama di dalam pejabat cawangan untuk mendapatkan giliran urusan kaunter.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pengenalan sistem pintar itu bertujuan meningkatkan kecekapan serta memberikan pengalaman pelanggan yang lebih mudah, ringkas dan lancar.
“Melalui TH Digital Queue, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR untuk menerima notifikasi nombor giliran secara terus di telefon pintar. Mereka kini boleh memantau status giliran masing-masing dari mana-mana sahaja tanpa perlu beratur panjang,” katanya dalam kenyataan.
Selain pengurusan nombor giliran, sistem tersebut turut dilengkapi dengan fungsi penilaian Indeks Kepuasan Pelanggan, e-Borang Maklum Balas Pelanggan serta pelbagai maklumat penting untuk kemudahan pendeposit.
Tambah beliau, langkah itu merupakan pelengkap kepada pelancaran laman sesawang baharu TH yang lebih moden dan mesra pengguna sebelum ini, sekali gus memperlihatkan komitmen TH dalam memperkasakan perkhidmatan digitalnya di seluruh negara.
“TH yakin sistem ini bukan sahaja melancarkan urusan di kaunter, malah memastikan proses pengendalian maklum balas pelanggan dapat diuruskan dengan lebih telus dan segera,” tambahnya. -UTUSAN










