KUALA LUMPUR: Sunway Healthcare Holdings Bhd membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.70 sesaham, premium 25 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) IPO RM1.45.
Volum pembukaan melibatkan sebanyak 36.2 juta saham.
Kumpulan itu berkata, IPO tersebut menjana RM3.3 bilion, menjadikannya IPO terbesar di Malaysia dalam tempoh sembilan tahun dan IPO kedua terbesar dalam sektor kesihatan di ASEAN setakat ini.
“Melalui terbitan awam sebanyak 575 juta saham biasa baharu, syarikat berjaya meraih RM833.8 juta.
“Daripada jumlah hasil kasar tersebut, sebanyak RM554.1 juta atau 66.5 peratus diperuntukkan bagi pengembangan hospital sedia ada, sebagai usaha mengukuhkan kedudukan pasaran dan meningkatkan kapasiti katil,” katanya dalam kenyataan.
Sunway Healthcare kini mengendalikan lima hospital swasta, bersama pusat rawatan ambulatori dan fasiliti sokongan di seluruh Malaysia.
Syarikat itu juga merancang untuk menambah sehingga lima lagi hospital dalam beberapa tahun akan datang, dengan tiga daripadanya sudah dalam pembinaan.
Penyenaraian itu merupakan bahagian ketiga konglomerat Sunway Bhd. yang disenaraikan di Bursa Malaysia, selepas Sunway Construction Group Bhd. dan Sunway Real Estate Investment Trust.-UTUSAN










