PETALING JAYA: S P Setia Bhd. (Setia) melancarkan Summera Grove, sebuah koleksi rumah teres dua tingkat seluas 6.18 hektar di Johor dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM181.43 juta.
Summera Grove merupakan pembangunan terbaharu di perbandaran matang Setia Tropika, sebuah perbandaran berpegangan bebas seluas 299.5 hektar di Johor Bahru.
Setakat ini, sebanyak 130 unit bukan bumiputera di Summera Grove dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM123.3 juta telah ditempah sepenuhnya dalam masa beberapa jam selepas pelancarannya pada 14 Mac lalu.
Summera Grove merangkumi 203 unit rumah teres dua tingkat bersaiz dari 20’ x 60’ hingga 20’ x 75’, dengan keluasan binaan dari 1,706 kaki persegi hingga 1,894 kaki persegi dan harga bermula dari RM719,355 hingga RM1.43 juta.
Summera Grove terletak di Presint 13 Setia Tropika, sebuah perbandaran moden berpagar dan berkawalan sepenuhnya yang menampilkan daerah perniagaan pusat (CBD) dengan pelbagai pilihan runcit dan makanan dan minuman (F&B), bank-bank utama serta Dewan Konvensyen Tropika yang khusus.
Ketua Pegawai Operasi Setia, Datuk Yuslina Mohd. Yunus berkata, Setia Tropika mencerminkan kepakaran terbukti Setia dalam perancangan perbandaran bersepadu yang disokong oleh infrastruktur menyeluruh dan terancang.
“Sambutan luar biasa terhadap pelancaran Summera Grove, dengan kesemua 130 unit bukan bumiputera habis ditempah dalam tempoh beberapa jam mengesahkan permintaan pasaran yang berterusan terhadap kejiranan terancang, saling berhubung dan terletak dalam perbandaran matang.
“Sebagai tawaran kediaman terbaharu di Setia Tropika, Summera Grove direka untuk menyediakan persekitaran kehidupan yang tenang dan berkepadatan rendah, sambil kekal terhubung secara lancar dengan kemudahan sedia ada dan kawasan pusat bandar yang berkembang pesat.
“Ini mencerminkan pendekatan berdisiplin Setia terhadap evolusi perbandaran, berbanding pembangunan jangka pendek,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pembangunan ini menggabungkan ciri-ciri Setia e-Green Living seperti kunci rumah pintar, panel solar, saluran pengecasan kenderaan elektrik (EV), penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang kukuh serta Box 366, penyelesaian penghantaran tanpa sentuh proprietari syarikat.
“Elemen-elemen ini mencerminkan keupayaan Setia dalam menjangka keperluan pemilik rumah yang sentiasa berubah serta melaksanakan penyelesaian mampan dan sedia masa hadapan pada skala besar,” katanya.
Selain itu, jelasnya, pembangunan ini dihubungkan dengan Lebuhraya Utara-Selatan melalui Persimpangan Kempas.
Summera Grove terletak hanya 3.5km dari Stesen perkhidmatan tren elektrik (ETS) Kempas Baru, 12 kilometer (km) dari pusat bandar Johor Bahru dan 18 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Fasiliti perubatan utama turut berada berdekatan termasuk Pusat Perubatan Kempas dan KPJ Bandar Dato’ Onn, kedua-duanya dalam lingkungan 10 km dari Setia Tropika.
Summera Grove menawarkan akses mudah kepada keperluan harian serta kemudahan runcit gaya hidup dengan Lotus’s Setia Tropika yang berhampiran, manakala Johor Premium Outlets yang lebih eksklusif boleh diakses dengan pemanduan singkat. – UTUSAN










