SONOS kembali dengan dua pembesar suara baharu, Sonos Play dan Sonos Era 100 SL, yang menegaskan fokus syarikat dalam memperkukuh sistem Sonos sedia ada.
Pembesar suara ini memberikan bunyi berkualiti tinggi di seluruh kediaman, kedua-dua model ini memudahkan pengguna memulakan dan mengembangkan sistem Sonos mereka dari satu bilik ke bilik lain, sekali gus mencipta pengalaman mendengar yang saling terhubung dan mudah diperluas mengikut keperluan.
Pembesar suara baharu ini juga menawarkan cara ideal bagi rakyat Malaysia meningkatkan pengalaman hiburan di rumah ketika menyambut keluarga dan rakan-rakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sonos, Tom Conrad berkata, sebahagian besar teknologi pengguna menjanjikan inovasi, tetapi terlalu kerap akhirnya mewujudkan isolasi peranti baharu menggantikan yang lama, bukannya membina daripada produk yang sedia ada.
“Kami percaya pengalaman bunyi yang hebat tidak seharusnya bermula semula setiap kali anda menambah sesuatu yang baharu.
“Sonos Play dan Era 100 SL jelas menunjukkan kekuatan Sonos kelihatan ringkas tetapi sangat berkuasa kerana sistem yang menyokongnya,” katanya.
Sonos Play adalah pilihan yang ideal bagi mereka yang mahukan pembesar suara yang boleh dibawa ke mana-mana tanpa kompromi pada kualiti bunyi.
Bunyi stereo yang kaya memenuhi ruang bilik dengan baik dan penambahan ciri Charging Base membuatkan ia mudah diletakkan di rumah.
Apa yang paling menarik ialah aspek mudah alihnya yang direka bentuk kalis air IP67, bateri tahan sehingga 24 jam dan power bank terbina untuk mengecas telefon, Sonos Play benar-benar sesuai untuk membawa muzik ke luar rumah.
Saya juga menguji fungsi Bluetooth dengan beberapa unit, dan penalaan automatik Trueplay memastikan bunyi tetap seimbang walaupun diletakkan di luar ruang biasa.
Kawalan melalui aplikasi Sonos, Spotify Connect, Apple AirPlay 2 dan perkhidmatan suara lain juga sangat lancar.
Setiap arahan direspons dengan pantas dan integrasi ke dalam ekosistem Sonos lain mudah tanpa gangguan.
Sementara itu, Sonos Era 100 SL memukau dengan kesederhanaannya.
Tanpa mikrofon, ia menawarkan bunyi padat yang memenuhi ruang dengan sangat baik.
Era 100 SL juga sesuai untuk bilik tidur atau ruang tamu yang sederhana dan ia mudah digabungkan ke sistem Sonos sedia ada bila-bila masa, sama ada untuk stereo atau membina teater rumah.
Pembesar suara pertama anda sepatutnya memberi pengalaman bunyi lengkap dan Era 100 SL memang menepati janji itu.
Ini jelas memberi fleksibiliti kepada pengguna, sama ada anda baru mula dengan Sonos atau ingin memperluas sistem sedia ada.
Apa yang pasti, dengan menggunakan kedua-dua pembesar suara ini terasa lancar.
Muzik, podcast, TV atau filem boleh dimainkan di seluruh rumah tanpa sebarang gangguan, sama ada melalui WiFi atau Bluetooth.
Penambahbaikan platform yang berterusan memastikan sistem ini relevan walaupun beberapa tahun akan datang.
Tambahan pula, kedua-dua model diselaras oleh Sonos Soundboard, sekumpulan pakar muzik dan filem, memastikan bunyi yang dihasilkan tetap setia. Ini jelas terasa apabila mendengar muzik dengan pelbagai genre dari vokal halus hingga bass yang kuat, semuanya disampaikan dengan seimbang dan jelas.
Jadi sekiranya anda mencari pembesar suara yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga mudah digabungkan dalam sistem Sonos, Sonos Play dan Era 100 SL adalah pilihan tepat.
Play menawarkan fleksibiliti dan mobiliti, manakala Era 100 SL menekankan bunyi padat dan kesederhanaan.
Kedua-duanya membuktikan bahawa Sonos masih berada di barisan hadapan dalam mencipta pengalaman audio rumah yang menyeluruh dan boleh berkembang seiring keperluan anda. – UTUSAN










