KUALA LUMPUR: Sistem kewangan Malaysia kekal kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi meskipun berdepan ketidaktentuan global, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, sistem kewangan negara berupaya menyerap kejutan dan memastikan pengantaraan kewangan terus berfungsi walaupun dalam keadaan tekanan.
Menurutnya, sektor kewangan juga terus diperkasa bagi memenuhi keperluan serta menangani cabaran ekonomi moden.
“Bank dan syarikat insurans kekal beroperasi dengan kedudukan modal yang kukuh serta kecairan mencukupi, sekali gus menyediakan asas yang stabil kepada ekonomi.
“Ujian tekanan dijalankan setiap tahun bagi menilai tahap daya tahan institusi kewangan dan keputusan terkini menunjukkan nisbah modal agregat bank kekal jauh.
“Ia melebihi paras minimum kawal selia, walaupun dalam senario tekanan lebih buruk berbanding Krisis Kewangan Global dan pandemik 2020,” katanya pada Sidang Akhbar Dialog Tabunan BNM di sini hari ini.
Jelasnya, ini bermakna bank mempunyai penampan mencukupi untuk menyerap kerugian dan masih mampu meneruskan pemberian pinjaman serta menyokong pengantaraan kewangan walaupun dalam keadaan mencabar.
“Syarikat insurans juga berupaya menahan kejutan sambil terus menyediakan perlindungan kepada isi rumah dan perniagaan,” katanya.
Mengulas aspek peminjam, beliau berkata, keupayaan bayaran balik keseluruhan bagi perniagaan dan isi rumah kekal kukuh, dengan bahagian pinjaman berisiko dan terjejas yang rendah.
“Sebahagian besar perniagaan mampu memenuhi obligasi hutang, manakala tekanan dalam segmen kecil perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih terkawal.
“Isi rumah turut mencatat nisbah khidmat hutang yang sihat dan stabil, dengan tanda tekanan menyeluruh yang terhad,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, aliran kredit juga terus menyokong ekonomi apabila akses kepada pembiayaan baharu kekal tersedia bagi isi rumah dan perniagaan walaupun berdepan ketidaktentuan.
“Bank terus menyalurkan kredit, khususnya bagi modal kerja dan pelaburan, disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh serta piawaian pemberian pinjaman yang berhemat.
“Ini mencerminkan peranan penting sistem kewangan dalam menyokong pelarasan dan pertumbuhan ekonomi, bukannya memperhebat tekanan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, daya tahan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya sektor kewangan perlu terus diperkasakan bagi menangani cabaran semasa serta memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.
“Terdapat empat bidang utama yang diberi tumpuan iaitu reformasi perlindungan risiko dalam industri insurans dan takaful, pemajuan kewangan berasaskan nilai dan pemodenan sistem pembayaran.
“Ia turut merangkumi pengukuhan pencegahan penipuan dan kawalan terhadap aktiviti haram,” ujarnya. – UTUSAN










