Sektor kesihatan berdepan krisis tenaga kerja 

Sektor kesihatan berdepan krisis tenaga kerja 

BIDANG perubatan kini berdepan persaingan sengit daripada sektor lain seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan semikonduktor dan sains komputer.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor penjagaan kesihatan negara kini berdepan krisis tenaga kerja yang semakin meruncing apabila dianggarkan berlaku kekurangan 13,000 doktor pakar menjelang 2030.

Menurut analisis MBSB Research, situasi negatif itu menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan sistem kesihatan awam di seluruh Malaysia, terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan tempatan.

Menurutnya, isu itu bertambah kritikal apabila kira-kira 40 peratus tawaran jawatan tetap pakar tidak diisi, manakala kadar latihan semasa hanya melahirkan antara 1,000 hingga 1,400 pakar setahun dinilai belum cukup.

“la tidak mencapai sasaran 22,400 pakar dalam tempoh itu dan lebih membimbangkan krisis ini bukan sekadar kekurangan tetapi mencerminkan kelemahan struktur sistem kesihatan negara. 

“Laporan itu turut mendedahkan penurunan mendadak penyertaan ‘housemanship’ atau pegawai perubatan pelatih, dengan hanya 529 graduan tampil melaporkan diri daripada 5,000 kekosongan pada awal 2026.

“Fenomena ini dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk tekanan kerja, ketidaktentuan kerjaya, isu buli di tempat kerja serta tawaran lebih menarik daripada hospital swasta dan luar negara,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Firma itu berkata, pada masa sama, bidang perubatan kini berdepan persaingan sengit daripada sektor lain seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan semikonduktor dan sains komputer yang menawarkan gaji tinggi.

“Isu ‘brain drain’ atau penghijrahan bakat turut menjadi pemangkin apabila negara jiran seperti Singapura mula merekrut pelajar perubatan Malaysia sebelum tamat pengajian. 

“Perbezaan ketara antara sistem kontrak di Malaysia dan jawatan tetap di luar negara mendorong ramai doktor muda memilih untuk berhijrah, sekali gus menjejaskan bekalan tenaga kerja tempatan.

“Dalam pada itu, peningkatan mendadak premium insurans perubatan profesional turut menjadi halangan kepada doktor untuk menceburi bidang berisiko tinggi seperti pembedahan dan obstetrik,” jelasnya. 

MBSB Research berkata, yuran indemniti bagi pakar bedah saraf melebihi RM150,000 setahun, manakala pakar sakit puan pula mencecah RM120,000, menyebabkan ramai doktor mula beralih kepada bidang berisiko rendah.

“Situasi ini juga mendorong amalan ‘defensive medicine’, apabila doktor cenderung melakukan ujian secara berlebihan bagi mengelakkan risiko perundangan,” ujarnya.

Bagi menangani isu kekurangan pakar perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Model Hospital Kluster yang menggabungkan beberapa hospital di bawah satu sistem operasi seragam.

Bagaimanapun, MBSB Research berpandangan model ini hanya bersifat sementara kerana ia menambah beban kerja pakar sedia ada serta bergantung kepada jumlah pegawai perubatan semakin berkurangan.

“Bagi sektor swasta, kekurangan sumber manusia menjadi cabaran utama apabila kadar kekosongan jururawat dianggarkan antara 15 peratus hingga 18 peratus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN