KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersama Bursa Malaysia sedang memperkukuh nilai cadangan Pasaran LEAP yang dijangka dilaksanakan menjelang separuh kedua tahun ini.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia dibuat bagi memudah cara peralihan syarikat Pembiayaan Awam Ekuiti (ECF) yang mempunyai rekod pengumpulan dana yang kukuh ke penyenaraian di Pasaran LEAP.
Menurutnya, angkah itu bukan sahaja meningkatkan keterlihatan mereka, malah menyediakan laluan yang lebih lancar antara pasaran swasta dan pasaran awam.
“Selain itu, SC juga akan menyelaraskan proses pemindahan daripada Pasaran LEAP ke ACE Market dengan memansuhkan keperluan tawaran keluar (exit offer).
“Langkah ini dijangka memberikan kepastian yang lebih tinggi serta mengurangkan kos.
“Secara keseluruhannya, ia akan mengukuhkan ekosistem pembiayaan dengan meletakkan ECF sebagai batu loncatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebelum melangkah ke penyenaraian awam.
“Inisiatif utama ini dijangka dilaksanakan menjelang separuh kedua tahun ini,” katanya pada Hari Penglibatan MyCIF di SC bertemakan “Modal Pemangkin untuk Impak Negara” di sini, semalam.
Beliau berkata, melalui program Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) terdapat mekanisme pelaburan bersama antara kerajaan dengan platform ECF dan pembiayaan rakan ke rakan (P2P).
“Ini bermakna syarikat PMKS mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan pembiayaan, selain bergantung kepada pinjaman daripada sistem perbankan.
“Kadangkala bank tidak dapat menyediakan pembiayaan kerana saiz perniagaan yang kecil atau kekurangan rekod prestasi.
“Jadi melalui mekanisme seperti ini, terdapat pihak lain yang boleh membantu menyediakan pembiayaan kepada syarikat berkenaan.
“Namun, terdapat juga situasi apabila syarikat sudah berkembang sedikit, tetapi pembiayaan pada peringkat seterusnya tidak diperoleh.
“Oleh itu, usaha kerajaan adalah untuk memperkukuh ekosistem pembiayaan supaya proses pertumbuhan syarikat dapat berjalan secara berterusan daripada syarikat kecil kepada sederhana dan seterusnya menjadi syarikat besar,” ujarnya.
Jelasnya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah melalui program Gear Up, di mana syarikat yang berada dalam ekosistem MyCIF diperkenalkan kepada pengurus dana seperti modal teroka (VC) bagi membuka peluang pelaburan baharu.
“Apabila syarikat semakin berkembang, mereka juga boleh mempertimbangkan untuk disenaraikan di pasaran saham.
“Dalam hal ini, usaha turut dilakukan untuk memudahkan proses penyenaraian supaya syarikat boleh bermula di Pasaran LEAP.
“Apabila syarikat terus berkembang, mereka berpeluang meningkat ke Pasaran ACE dengan SC turut menyediakan beberapa kelonggaran bagi membantu mempercepatkan proses pertumbuhan syarikat.
“Langkah ini bertujuan memastikan syarikat mempunyai akses kepada pembiayaan yang berterusan sepanjang perjalanan pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya. -UTUSAN










