PETALING JAYA: Filem raya terbaharu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Raya Pertama mengangkat semula nilai muhibah dan silaturahim yang menjadi asas keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Dalam arus kehidupan moden yang semakin pantas, nilai menyantuni dan saling mengenali dilihat semakin terpinggir, sekali gus menjadikan mesej yang dibawa menerusi filem ini lebih signifikan.
Raya Pertama mengisahkan perjalanan seorang mualaf berbangsa Cina, Adam, yang menyambut Hari Raya Aidilfitri buat pertama kali di kampung halaman isterinya, Maria.
Di sebalik suasana meriah, Adam berdepan cabaran menyesuaikan diri dengan keluarga baharu, sebelum dibantu oleh seorang kanak-kanak peramah, Ujang, yang menjadi penghubung kepada penerimaan dan keserasian dalam komuniti tersebut.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Samsul Ariffin Zainuddin berkata, filem berkenaan memberikan perspektif bermakna tentang sambutan perayaan dengan menekankan kepentingan hubungan sesama insan.
Menurut beliau, keikhlasan dan empati menjadi elemen penting dalam membina rasa kebersamaan tanpa mengira latar belakang.
“Ini mencerminkan komitmen TNB dalam menerangi kehidupan rakyat. Dengan mengangkat nilai hubungan dan kebersamaan, kami sentiasa berkongsi kisah yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, TNB akan terus memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap agar setiap detik bermakna rakyat, khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, dapat diraikan dengan penuh keceriaan.
Filem Raya Pertama kini boleh ditonton menerusi saluran media sosial rasmi TNB termasuk YouTube, Facebook, Instagram, TikTok dan LinkedIn.
TNB turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia serta berharap sambutan kali ini menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan dan perpaduan berteraskan semangat muhibah. – UTUSAN










