Perdagangan Malaysia catat RM245.2 bilion pada Februari - Utusan Malaysia

Perdagangan Malaysia catat RM245.2 bilion pada Februari

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026 daripada RM223.9 bilion, disokong oleh peningkatan berterusan dalam kedua-dua eksport dan import.

Pertumbuhan eksport direkodkan meningkat +10.8 peratus bernilai RM131.0 bilion serta peningkatan import (+8.2 peratus) kepada RM114.2 bilion.

Selain itu, lebihan dagangan turut menaik 32.5 peratus kepada RM16.7 bilion pada Februari 2026.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport semula yang merangkumi 20.3 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 24.8 peratus tahun ke tahun kepada RM26.6 bilion.

“Sementara itu, eksport domestik yang menyumbang 79.7 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 7.7 peratus kepada RM104.3 bilion.

“Seiring itu, import turut meningkat kepada RM114.2 bilion, mencatatkan kenaikan 8.2 peratus.

“Lebihan dagangan pula naik 32.5 peratus kepada RM16.7 bilion, menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-70 berturut-turut sejak Mei 2020.

“Berbanding Januari 2026, eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 10.8 peratus, 8.5 peratus, 9.8 peratus dan 23.9 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Dari perspektif kumpulan barangan pula, 87 daripada 258 kumpulan eksport dan 135 daripada 258 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan eksport disokong terutamanya oleh kenaikan penghantaran ke Amerika Syarikat (+RM7.4 bilion), diikuti Taiwan (+RM3.3 bilion), Kesatuan Eropah (+RM3.2 bilion), Hong Kong (+RM2.2 bilion), China (+RM1.7 bilion), Thailand (+RM834.2 juta) dan Republik Korea (+RM621.6 juta).

“Peningkatan import pula sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi dari China (+RM6.1 bilion), diikuti Republik Korea (+RM3.6 bilion). Taiwan (+RM3.3 bilion), Costa Rica (+RM1.1 bilion), Viet Nam (+RM1.1 billion), Switzerland (+RM655.1 juta) dan Kesatuan Eropah (+RM650.3 juta),” jelasnya.

Beliau berkata, pertumbuhan eksport dipacu oleh peningkatan penghantaran barangan elektrik dan elektronik (+RM13.5 bilion), keluaran perkilangan lain (+RM3.0 bilion), bijih logam dan serpihan logam (+RM2.4 bilion) serta barangan optik dan saintifik (+RM2.0 bilion).

“Ia turut merangkumi lain-lain sebanyak +RM325.1 juta dan petroleum mentah (+RM72.4 juta).

“Pada masa yang sama, import mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM13.3 bilion), bijih logam dan serpihan logam (+RM1.4 bilion), lain-lain (+RM1.1 bilion) serta jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM629.4 juta).

“Ia turut termasuk barangan optik dan saintifik (+RM612.5 juta) serta keluaran perkilangan lain (+RM533.7 juta),” katanya.

Mohd. Uzir berkata, kenaikan import mengikut Penggunaan Akhir disebabkan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan penggunaan dan barangan perantaraan.

“Import barangan modal (14.0 peratus daripada jumlah import) meningkat 15.4 peratus atau RM2.1 bilion, berjumlah RM15.9 bilion.

“Barangan penggunaan (8.1 peratus daripada jumlah import) meningkat 1.5 peratus atau RM136.7 juta kepada RM9.2 bilion.

“Sementara itu, import barangan perantaraan (51.8 peratus daripada jumlah import) meningkat 0.8 peratus atau RM474.5 juta, berjumlah RM59.2 bilion berbanding Februari 2025,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN