Perang Iran beri impak terhad terhadap sektor logistik, Westports

Perang Iran beri impak terhad terhadap sektor logistik, Westports

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perang di Iran memberi impak terhad ke atas Westports, berikutan kargo konvensional hanya menyumbang 6.2 peratus daripada hasil operasi pengendali pelabuhan kontena pada tahun kewangan 2025, kata RHB Investment Bank Bhd.

Penganalisisnya, John Liew berkata, berdasarkan ujian sensitivitinya, setiap peningkatan 10 peratus dalam kos bahan api boleh mengurangkan unjuran keuntungan tahun kewangan 2025 Westports sebanyak satu peratus. 

“Bagaimanapun, kesan ini boleh dikurangkan dengan ketara sekiranya aliran kargo dialihkan atau disatukan melalui hab Asia alternatif susulan penutupan Selat Hormuz, yang berpotensi meningkatkan jumlah transhipment.

“Secara khusus, RHB Economics menjangkakan penyelesaian cepat akan dicapai, sejajar dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bahawa konflik ini mungkin hanya berlangsung kira-kira sebulan. 

“Oleh itu, kami percaya pertumbuhan keuntungan Westports tetap kukuh, berasaskan kenaikan tarif berperingkat dan ramalan pertumbuhan kontena sebanyak 4.5 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, John berkata, syarikat logistik boleh mendapat manfaat daripada kadar penghantaran yang lebih tinggi (jika ada), kerana kenaikan kos bahan api biasanya dipindahkan kepada pelanggan akhir melalui caj bahan api. 

“Setakat ini, kadar penghantaran adalah stabil bagi kebanyakan laluan minggu lepas, kecuali laluan Shanghai-New York dan Shanghai-Los Angeles, menurut Drewry World Container Index. 

“Selain itu, kedua-dua syarikat logistik yang kami liputi mempunyai pendedahan langsung yang terhad ke Asia Barat, dengan jumlah penghantaran ke rantau tersebut kurang daripada dua peratus daripada jumlah keseluruhan,” ujarnya.

Beliau berkata, bank pelaburan mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor logistik di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.

“Kami terus menyukai saham Westports berikutan trajektori pertumbuhan keuntungan berasaskan kenaikan tarif secara berperingkat, pertumbuhan jumlah kontena yang berkorelasi 0.89 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, disokong oleh perdagangan intra-Asia yang stabil.

“Selain itu, ia juga disokong oleh pengembangan Westports 2 (WP2), yang kekal sebagai pemangkin jangka panjang untuk mengatasi had penggunaan semasa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN