KUALA LUMPUR: Penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit dijangka menjejaskan pendapatan SumiSaujana Group Berhad (SumiSaujana) pada tahun ini, memandangkan syarikat itu mempunyai aktiviti eksport ke pasaran berkenaan.
Ia selain inflasi kos yang berpotensi memberi tekanan kepada margin keuntungan.
RHB Investment Bank Bhd berkata, syarikat itu juga masih terdedah kepada turun naik buku pesanan dalam segmen terasnya, dengan sebarang kelewatan pelaksanaan projek atau permintaan yang lebih perlahan boleh menjejaskan keterlihatan hasil.
Firma itu turut mengekalkan unjuran pendapatan SumiSaujana Group Berhad (SumiSaujana) tanpa sebarang perubahan dengan harga sasaran (TP) kekal pada 81 sen sesaham.
“Penilaian ini adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 11 kali bagi unjuran pertengahan tahun kewangan 2027.
“Ia yang secara umumnya sejajar dengan julat 10 hingga 12 kali Bursa Malaysia Energy Index serta masih pada paras diskaun berbanding rakan setara global dalam sektor serta perkhidmatan minyak dan gas (O&G).
“Penilaian ini juga kekal menarik disokong keterlihatan pendapatan yang semakin baik, pertumbuhan jejak eksport serta peningkatan pendedahan kepada produk khusus bernilai tambah tinggi yang dijangka menyokong daya tahan margin dalam jangka sederhana,” katanya dalam satu nota penyelidikan
Katanya, saranan ‘beli’ dengan harga sasaran itu menawarkan potensi kenaikan 55 peratus.
“Keuntungan bersih teras tahun kewangan 2025 sebanyak RM10.6 juta (+7.5 peratus tahun ke tahun) secara keseluruhan menepati jangkaan kami pada kadar 99 peratus daripada unjuran, namun melebihi anggaran konsensus pada 140 peratus.
“Prestasi ini mengukuhkan trajektori peningkatan pendapatan SumiSaujana, disokong pemulihan permintaan yang stabil serta pendedahan eksport yang semakin berkembang,” ujarnya.
SumiSaujana mencatatkan keuntungan bersih teras suku keempat tahun kewangan 2025 sebanyak RM4.3 juta selepas pelarasan item sekali sahaja dan rosot nilai.
Hasil meningkat 50 peratus suku ke suku kepada RM65.4 juta, didorong terutamanya oleh jualan lebih kukuh di Malaysia yang melonjak 67.9 peratus suku ke suku kepada RM38.1 juta.
Seiring itu, pendapatan teras bertambah baik daripada RM1.2 juta kepada RM4.3 juta, disokong prestasi operasi yang lebih mantap.
RHB Investment Bank berkata, pada suku ketiga 2025, SumiSaujana menghantar kumpulan pertama pengemulsi ke Amerika Syarikat (AS) di bawah perjanjian pembuatan tol bersama dua rakan kongsi, dengan penghantaran semasa sekitar 30 hingga 40 kontena sebulan.
“Kumpulan itu merancang memperkukuh kehadiran di pasaran AS menerusi potensi usaha sama (JV) dengan rakan tempatan, disasarkan dimuktamadkan menjelang suku pertama 2026.
“Secara berasingan, SumiSaujana menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CoolisT Group pada Disember 2025 untuk membekalkan produk berasaskan bio mulai 2026.
“Ini dengan penghantaran awal dua hingga empat kontena sebulan, bersamaan anggaran hasil tahunan sekitar RM4 juta hingga RM5 juta pada fasa permulaan,” jelasnya. – UTUSAN










