PETALING JAYA: Pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat 1.1 peratus kepada 183.6 juta tong pada 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui keluaran Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli, Suku Keempat 2025.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, secara suku tahunan, pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2025 berbanding 7.9 peratus pada suku sebelumnya.
Menurutnya, ia menjadikan jumlah pengeluaran sebanyak 47.8 juta tong pada suku keempat berbanding 45.1 juta tong pada suku ketiga.
“Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan dua-digit pengeluaran kondensat iaitu 18 peratus berbanding 9.7 peratus pada suku ketiga kepada 17 juta tong.
“Walau bagaimanapun, pengeluaran Minyak mentah mencatatkan penurunan 1.7 peratus berbanding 7.0 peratus pada suku ketiga 2025.
“Dari segi komposisi, minyak mentah menyumbang 64.4 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak mentah dan kondensat, manakala kondensat merangkumi 35.6 peratus.
“Sementara itu, gas asli merekodkan pengeluaran sebanyak 784 bilion kaki padu, menyusut 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 11.8 peratus pada suku sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Purata Harga “Lifting” Berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat di Malaysia turun kepada AS$66.1 (RM260.94) per tong pada suku keempat 2025 berbanding AS$71.9 (RM283.84) er tong pada suku sebelum.
Penurunan itu seiring dengan aliran penyusutan harga minyak mentah global apabila harga WTI merosot kepada AS$59.6 (RM234.28) setong berbanding AS$65.7 (RM259.36) setong pada suku ketiga, manakala Brent turun kepada AS$63.6 (RM251.07) setong daripada AS$69 (RM272.39) setong dalam tempoh sama.
Mengulas mengenai prestasi perdagangan luar negara, Mohd. Uzir berkata, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2025 daripada RM5.3 bilion pada suku ketiga.
“Peningkatan ini selari dengan keluaran petroleum bertapis yang turut merekodkan kenaikan marginal kepada RM23.9 bilion berbanding RM23.8 bilion pada suku sebelumnya.
“Pada masa yang sama, eksport Gas asli cecair (LNG) turut meningkat kepada RM13.6 bilion pada suku ini berbanding RM12.2 bilion pada suku sebelumya.
“Import petroleum mentah dan kondensat mencatatkan penurunan kepada RM11.5 bilion pada suku keempat 2025 berbanding RM16 bilion yang direkodkan pada suku ketiga 2025.
“Keluaran petroleum bertapis turut merekodkan penyusutan kepada RM22.7 bilion berbanding RM24.1 bilion pada suku sebelumya.
“Sementara itu, import gas asli cecair menunjukkan peningkatan, berjumlah RM1.6 bilion pada suku ini berbanding RM1.3 bilion pada suku sebelumnya,” jelasnya.
Tambahnya, pada 2025, pengeluaran minyak mentah dan kondensat berkembang 1.1 peratus kepada 183.6 juta tong berbanding penguncupan 3.5 peratus kepada 181.6 juta tong pada 2024.
Beliau berkata, pertumbuhan itu disokong peningkatan pengeluaran minyak mentah serta prestasi kondensat yang lebih baik pada kadar 6.1 peratus berbanding 2.7 peratus pada tahun sebelumnya.
“Dari segi komposisi, minyak mentah merangkumi 67.9 peratus atau 124.6 juta tong, manakala kondensat sebanyak 32.1 peratus atau 59 juta tong.
“Sementara itu, gas asli merekodkan pengeluaran 2,943.8 bilion kaki padu berbanding 2,948.8 bilion kaki padu pada 2024,” katanya. – UTUSAN










