PETALING JAYA: Prospek pendapatan Malakoff dijangka kembali pulih tahun ini susulan penyambungan semula operasi Tanjung Bin Energy (TBE) dan peluasan loji gas terkini serta aset baharu (greenfield) yang lebih cekap, menurut penganalisis.
RHB Research berkata, penyambungan semula operasi TBE pada akhir Januari lalu, selepas penetapan semula kadar gangguan tidak berjadual (UOR) membolehkan TBE menerima bayaran kapasiti penuh, sekali gus menyokong peningkatan prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan semasa.
Katanya, hasil TBE diramalkan kembali ke paras tahun kewangan 2024 sebanyak kira-kira RM2.1 bilion, yang dianggarkan menyumbang sekitar 23 peratus daripada unjuran hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2026.
“Dalam masa sama, operasi pengangkutan bekalan arang batu dijangka disambung semula bulan ini susulan kerja-kerja pemulihan yang telah dilaksanakan di jeti arang batu Tanjung Bin.
“Perkembangan itu dilihat mampu menstabilkan rantaian bekalan bahan api serta mengurangkan risiko gangguan operasi pada masa hadapan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Selain itu RHB berkata, lanjutan tempoh perjanjian pembelian tenaga (PPA) bagi loji Segari, Prai dan GB3 sehingga akhir 2029 turut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 tanpa sebarang perubahan, selain memperkenalkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2028 dalam laporan terbaharu mereka.
Seiring itu, saranan beli terhadap saham syarikat berkenaan turut dikekalkan, dengan pelabur disaran mengambil peluang mengumpul saham sekiranya berlaku kelemahan harga dalam jangka pendek.
Harga sasaran (TP) ditetapkan pada RM0.93, berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 20 kali bagi tahun kewangan 2026, iaitu selari dengan purata tiga tahun syarikat tersebut.
Penilaian itu turut mengambil kira diskaun faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 12 peratus, sebagai mencerminkan risiko susulan insiden kebakaran yang melibatkan loji TBE serta kemudahan jeti sebelum ini.
Sementara itu CGS International (CGSI) turut menyarankan pelabur mengumpul pegangan memandangkan penilaian semasa dilihat menarik.
“Ketika ini, saham Malakoff diniagakan pada kira-kira lima kali EV/EBITDA unjuran untuk 2026, menghampiri paras bawah julat sejarah 10 tahunnya.
“Justeru, risiko terhadap pendapatan susulan gangguan operasi berkenaan dipercayai telah pun diambil kira dalam harga semasa,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek pendapatan kumpulan dijangka bertambah baik disokong peluasan loji jana kuasa gas sedia ada serta sumbangan aset baharu (greenfield) yang lebih cekap dari segi operasi dan kos.
“Potensi peningkatan terbesar adalah daripada kejayaan membida loji jana kuasa gas baharu yang mampu menyumbang pendapatan berulang secara mampan kepada kumpulan,” katanya. – UTUSAN










