Pelabur asing kekal yakin, tiada tanda pelaburan diperlahankan - Utusan Malaysia

Pelabur asing kekal yakin, tiada tanda pelaburan diperlahankan

SIM Tze Tzin (dua dari kiri) bersama Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kanan) semasa Persidangan Media Tahunan MIDA (AMC) 2026 yang menyaksikan pengumuman prestasi pelaburan Malaysia dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama bagi 2025, berserta pelancaran rasmi Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia (MIPR) 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik global, termasuk konflik di Asia Barat, setakat ini tidak menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia apabila tiada tanda mereka menangguhkan atau memperlahankan pelaburan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, walaupun terdapat banyak spekulasi, sebenarnya beberapa pelaburan masih berada pada peringkat perbincangan.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang indikasi bahawa syarikat akan menghentikan pelaburan mereka.

“Terdapat juga projek di bawah MIDA yang masih dalam proses, manakala pelaburan lain hanya diumumkan selepas persetujuan bersama dicapai.

“Kami hanya mengumumkan pelaburan yang telah dipersetujui secara rasmi dengan syarikat, sementara projek lain masih belum boleh dikongsikan.

“Saya juga tidak dapat memberikan angka tepat kerana perbincangan masih berjalan,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Media Tahunan MIDA (AMC) 2026 di sini semalam.

Beliau berkata, terdapat syarikat yang sedang mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, namun sebahagian masih belum mengemukakan permohonan rasmi.

“Kami menggalakkan mereka untuk mengemukakan permohonan tahun ini supaya projek dapat direkodkan secara rasmi

“Oleh itu, MIDA tidak dapat memberikan angka muktamad pada ketika ini,” katanya.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin pula berkata, berdasarkan rekod MIDA, lebih 90 peratus projek yang diluluskan dalam sektor pembuatan dari 2021 hingga 2024 telah mula dilaksanakan, manakala sekitar 62 peratus menunjukkan kemajuan ketara.

“Apabila menilai pelaksanaan projek, proses seperti pemerolehan tanah, pembangunan kilang baharu atau pembelian peralatan mesin sehingga operasi bermula biasanya mengambil masa antara 12 hingga 48 bulan.

“Jadi agak sukar untuk memberikan angka yang tepat pada masa ini. Contohnya, angka 62 peratus merujuk kepada projek yang sedang dilaksanakan dan diketahui telah bermula,” jelasnya.

Mengulas mengenai kesan konflik di Asia Barat terhadap perdagangan negara, katanya, ia dijangka minimum memandangkan perdagangan negara dengan Iran hanya menyumbang sekitar 0.09 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Menurutnya, jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia dengan Iran pada 2025 adalah sekitar RM2.45 bilion, dengan eksport mencatat RM2.17 bilion manakala import berjumlah RM280 juta.

“Seperti yang dapat dilihat, jumlah ini agak kecil dan gas asli cecair (LNG) juga bukan antara lima komoditi utama dalam perdagangan tersebut. Oleh itu, kesan konflik di Timur Tengah terhadap perdagangan Malaysia adalah sangat minimum.

“Walau bagaimanapun, kami akan terus memantau keadaan kerana kemungkinan gangguan logistik tetap wujud, yang boleh menjejaskan laluan perdagangan global.

“Namun, saya yakin syarikat logistik dan perniagaan di seluruh dunia akan mencari penyelesaian bagi mengatasi cabaran ini. Jadi, kita akan terus berhati-hati tetapi pada masa sama kekal optimis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN