OSK Property bakal memperkenalkan pembangunan komersial terbaharunya, OSK Yarra 33, yang menampilkan koleksi terhad pejabat kedai pegangan bebas dan terletak secara strategik dalam perbandaran OSK Yarra Park yang pesat berkembang di Sungai Petani, Kedah.
Projek itu dibina di atas tapak pegangan bebas seluas 2.34 hektar di Presint 4, OSK Yarra Park. OSK Yarra 33 akan merangkumi 33 unit eksklusif pejabat kedai dua dan tiga tingkat dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM43.23 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Ong Ghee Bin berkata, OSK Yarra 33 dibayangkan sebagai destinasi komersial seterusnya dengan penawaran unit komersial dalam OSK Yarra Park susulan kejayaan BPJ Business Park yang mencatat penjualan penuh.
“Seiring kematangan perbandaran ini, kami melihat peningkatan permintaan terhadap ruang perniagaan yang strategik dan direka secara teliti bagi menyokong kelestarian jangka panjang serta pertumbuhan komuniti.
“Projek OSK Yara 33 mencerminkan komitmen kami dalam mewujudkan persekitaran komersial yang relevan hari ini dan berdaya tahan untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, projek itu dirancang bagi memenuhi keperluan perniagaan moden dengan fasad komersial berimpak tinggi, susun atur mesra runcit serta kedudukan strategik di koridor pertumbuhan pesat Sungai Petani.
Menurutnya, harga dijangka bermula dari RM785,000 bagi lot pertengahan tipikal berkeluasan 22’ x 88’ dengan keluasan binaan 3,080 kaki persegi, selain pilihan unit premium khas.
“OSK Yarra 33 bakal menikmati fasad utama di sepanjang Persiaran Yarra 1 dan terletak bertentangan sebuah pasar raya besar sedia ada, sekali gus menawarkan keterlihatan tinggi serta potensi aliran pelanggan yang konsisten.
“Pembangunan ini berada di tengah kawasan tadahan matang merangkumi Bandar Puteri Jaya, OSK Yarra Park, Bandar Mutiara, Taman Batik dan SP Heights, melayani populasi dianggarkan sekitar 220,000 penduduk.
“Bandar Puteri Jaya kini muncul sebagai antara nod kediaman dan gaya hidup paling aktif di Sungai Petani, disokong kemudahan menyeluruh, jaringan jalan raya kukuh serta pertumbuhan penduduk yang stabil.
“Kedudukan ini meletakkan OSK Yarra 33 dalam lokasi yang menguntungkan untuk memenuhi permintaan komersial berterusan daripada kawasan kejiranan sedia ada dan pembangunan kediaman baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, OSK Yarra 33 dirancang secara teliti untuk perniagaan yang memerlukan lebih daripada sekadar ruang. Susun atur dua dan tiga tingkat yang dicadangkan menampilkan fasad alfresco selebar 17 hingga 18 kaki, sesuai untuk premis makanan dan minuman (F&B) serta konsep runcit berasaskan pengalaman pelanggan.
“Kami memahami bahawa kemudahan tempat letak kereta merupakan faktor penting bagi perniagaan runcit dan F&B. Justeru, kami telah melabur dalam penambahbaikan OSK Yarra 33 dengan menyediakan dua hingga tiga petak parkir persendirian bagi setiap pemilik kedai, bagi memastikan kemudahan dan aksesibiliti yang lebih baik untuk pengusaha serta pelanggan,” tambah beliau.
“Ini selari dengan visi OSK Property dalam mewujudkan persekitaran komersial berorientasikan komuniti.
“Dengan hanya 33 unit yang dirancang, OSK Yarra 33 merupakan tawaran komersial terhad. Pembangunan ini turut merangkumi sejumlah kecil unit penjuru dan hujung lot yang lazimnya mendapat permintaan tinggi susulan kelebihan keterlihatan dan fleksibiliti susun atur,” ujarnya.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada perbandaran OSK Yarra Park, OSK Yarra 33 meneruskan komitmen OSK Property dalam membangunkan persekitaran bersepadu berteraskan gaya hidup di Sungai Petani.
“OSK Yarra Park kini dikenali sebagai alamat pembangunan moden dengan penawaran kediaman kontemporari, infrastruktur kukuh serta komponen komersial terancang.
“Pembangunan ini dijangka terus mengukuhkan ekosistem tersebut dengan memperkenalkan ruang komersial berkualiti tinggi dan berlokasi strategik, sejajar dengan pertumbuhan populasi dan peningkatan aspirasi gaya hidup setempat,” jelasnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai OSK Yarra 33, orang ramai boleh melayari laman web yarrapark.com.my atau menghubungi 012 429 1818. -UTUSAN










