PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) esok di sebalik persekitaran ekonomi global berdepan ketidaktentuan yang menjejaskan perdagangan antarabangsa dan pasaran minyak.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, faktor domestik akan menjadi pertimbangan utama bank pusat dalam membuat keputusan dasar monetari minggu ini.
Katanya, pasaran kewangan antarabangsa setakat ini kekal stabil walaupun berlaku lonjakan dolar Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak.
“Namun, kesan jangka panjang perkembangan global tersebut masih belum pasti.
“Bagi keputusan minggu ini, kami tidak melihat keperluan untuk sebarang perubahan kadar. Fokus utama dijangka tertumpu kepada inflasi dan pertumbuhan domestik,” katanya dalam kenyataan.
Kashif berkata, Malaysia berada dalam kedudukan ekonomi yang kukuh, dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus tahun ini manakala tekanan inflasi kekal sederhana.
“Data terkini menunjukkan inflasi keseluruhan berada pada 1.6 peratus pada Januari, stabil berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala kos perumahan meningkat 1.2 peratus.
“Sehingga sebelum perkembangan global terkini, penganalisis menjangkakan OPR akan dikekalkan sepanjang 2026. IQI mengekalkan pandangan tersebut buat masa ini,” katanya.
Menurutnya, antara risiko yang berpotensi mengubah unjuran itu termasuk kenaikan harga minyak secara berterusan, pengaliran keluar modal dari pasaran sedang pesat membangun serta ketidaktentuan nilai ringgit.
“Bagaimanapun, risiko tersebut disifatkan masih rendah ketika ini,” katanya.
Dalam tempoh pemulihan pasca pandemik, BNM telah menaikkan kadar faedah beberapa kali sepanjang 2022 dan 2023 sehingga OPR mencecah 3 peratus.
Pada Julai tahun lalu, bank pusat menurunkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pengurangan pertama dalam tempoh kira-kira lima tahun.
Sejak itu, kadar tersebut dikekalkan bagi menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Kestabilan kadar faedah turut memberi kesan positif kepada pasaran hartanah,” katanya.
Menurut Ansari, kadar yang stabil meningkatkan keyakinan pembeli rumah dan pelabur kerana bayaran gadai janji lebih mudah diramal.
Bagi pinjaman perumahan RM450,000 untuk tempoh 30 tahun, kenaikan 25 mata asas dianggarkan menambah sekitar RM60 hingga RM70 kepada bayaran bulanan jumlah yang kecil tetapi boleh menjejaskan kelayakan pinjaman.
“Aktiviti transaksi dilaporkan stabil di kawasan tumpuan seperti Greater Kuala Lumpur, Johor Bahru dan George Town.
“Pemaju pula kekal berdisiplin tanpa tanda-tanda lebihan bekalan atau pemanasan melampau pasaran.
“Secara keseluruhan, IQI menjangkakan kesinambungan dasar monetari pada minggu ini akan terus menyokong isi rumah, perniagaan dan sektor hartanah dalam suasana global yang mencabar,” katanya. – UTUSAN










