OPR dijangka kekal 2.75% bagi keseluruhan tahun ini

OPR dijangka kekal 2.75% bagi keseluruhan tahun ini

CGS International Securities menjangkakan momentum pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan pada 2025 akan berterusan ke 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi keseluruhan tahun ini, disokong asas domestik berdaya tahan dan inflasi yang terkawal.

CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd berkata, momentum pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan pada 2025 dijangka berterusan ke 2026. 

Katanya, ini disokong oleh kadar pengangguran terendah dalam lebih sedekad serta peningkatan aktiviti pelancongan di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong (2025: 42 juta), sekali gus berpotensi menyokong perbelanjaan pengguna.

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan strategi dasar BNM akan bergantung kepada perkembangan semasa, khususnya bagaimana konflik di Asia Barat berkembang. 

“Kami menjangka OPR akan kekal tidak berubah pada 2.75 peratus sepanjang 2026,” kataya dalam nota penyelidikan.

Firma pemborkeran berkata, lonjakan harga minyak minggu lalu berpotensi memberi tekanan sementara kepada inflasi. 

“Berdasarkan pengiraan kami, jika harga Brent kekal sekitar AS$84 (RM331.49) setong sepanjang tahun, ia boleh menambah kira-kira 15 mata asas (bps) kepada Indeks Harga Pengguna (CPI) tahunan, dengan andaian tiada perubahan dasar. 

“Sokongan Budi Madani dijangka membantu melindungi isi rumah, namun ia juga boleh meningkatkan risiko fiskal kerana perbelanjaan subsidi yang lebih tinggi (sekitar RM10.9 bilion) mungkin diperlukan walaupun hasil berkaitan minyak dijangka meningkat (sekitar RM5.7 bilion) di bawah andaian harga Brent lebih tinggi berbanding AS$65 (RM256.51) setong dalam Belanjawan 2026,” ujarnya.

Tambahnya, penggunaan swasta belum mencapai potensi penuh juga dijangka menyokong BNM untuk mengekalkan kadar semasa. 

“Walaupun pertumbuhan domestik kekal kukuh, pertumbuhan penggunaan swasta dilihat lebih lemah daripada jangkaan. 

“Laporan tematik terbaharu kami menunjukkan pengguna kini berbelanja dengan lebih berhati-hati berbanding tahun-tahun sebelum pandemik. 

“Kami menjangkakan BNM akan kekal optimistik secara berhati-hati terhadap pertumbuhan penggunaan, sementara menunggu tanda pemulihan yang lebih jelas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN