Malaysia catat pelaburan diluluskan tertinggi RM426.7 bilion pada 2025 - Utusan Malaysia

Malaysia catat pelaburan diluluskan tertinggi RM426.7 bilion pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara berjumlahnya RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus pada 2025 berbanding RM384.4 bilion tahun sebelumnya, sekali gus menandakan pertumbuhan berterusan dalam prestasi pelaburan negara.

Pelaburan domestik (DI) berjumlah RM219.6 bilion atau 51.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala pelaburan asing (FI) meningkat 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion atau 48.5 peratus.

Pelaburan asing berkembang merentasi ketiga-tiga sektor ekonomi, iaitu 63.4 peratus dalam sektor utama, 28.7 peratus dalam sektor perkhidmatan dan 13.1 peratus dalam sektor pembuatan, mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Komposisi pelaburan asing turut menunjukkan trend serantau yang berkembang, dengan Singapura (RM58.3 bilion) dan Republik Rakyat China (RM58.0 bilion) muncul sebagai dua sumber pelaburan terbesar, diikuti Amerika Syarikat (AS) (RM15.1 bilion), Jepun (RM7.6 bilion) dan Hong Kong SAR (RM7.1 bilion).

Di peringkat domestik, lima negeri muncul sebagai destinasi pelaburan utama iaitu Johor (RM110.0 bilion), Selangor (RM83.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM63.3 bilion), Pulau Pinang (RM32.9 bilion) dan Kedah (RM27.8 bilion) yang secara keseluruhan menyumbang 74.5 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan pelaburan Malaysia berpunca daripada dasar jelas, institusi kukuh serta reformasi ekonomi yang dilaksanakan sejak 2023.

“Lebih 84.9 peratus projek pembuatan yang diluluskan telah direalisasikan atau sedang dilaksanakan, sekali gus menunjukkan kemampuan Malaysia menukar keyakinan pelabur kepada pertumbuhan industri sebenar,” ujarnya.

Beliau berkata, di sebalik setiap projek yang diluluskan, terdapat usaha konsisten dan berterusan oleh MITI, MIDA, agensi kerajaan negeri serta rakan sektor swasta dalam keseluruhan ekosistem pelaburan.

“Jelas sekali, perjalanan ini berjaya menterjemahkan aspirasi negara kepada keyakinan pelabur, yang seterusnya direalisasikan dalam bentuk kilang, pusat perkhidmatan berteknologi tinggi, pusat reka bentuk serta rantaian bekalan di bumi Malaysia,” katanya pada Persidangan Media Tahunan MIDA (AMC) 2026.

Menurut laporan Global Investment Trends Monitor oleh UNCTAD (Januari 2026), walaupun aliran pelaburan langsung asing (FDI) global meningkat 14 peratus pada 2025, sebahagian besar pertumbuhan itu tertumpu di pusat kewangan dan bukannya aset produktif, dengan aktiviti pelaburan sebenar masih sederhana.

Sebaliknya, prestasi Malaysia disokong oleh komitmen projek nyata melibatkan 8,390 projek diluluskan merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama, yang dijangka mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan baharu.

Selain jumlah pelaburan yang mencatat rekod, beberapa indikator utama turut menunjukkan peningkatan. Bilangan projek diluluskan meningkat 9.2 peratus, manakala potensi penciptaan pekerjaan bertambah 17.9 peratus.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, pencapaian itu merupakan satu pencapaian penting buat negara.

Menurutnya, hampir 245,000 peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan, selain pertumbuhan pelaburan yang semakin meluas ke negeri kurang membangun serta peningkatan nilai rantaian sektor pembuatan negara.

“Lebih separuh daripada pelaburan diluluskan datang daripada sumber domestik, menunjukkan keyakinan perniagaan tempatan terhadap hala tuju ekonomi negara.

“Pada masa sama, pelaburan asing meningkat 20.9 peratus, mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi modal berkualiti dan jangka panjang,” katanya

Sehingga 2 Februari 2026, MIDA memantau 172 projek berpotensi dengan nilai pelaburan dicadangkan sebanyak RM29.1 bilion.

Daripada jumlah itu, 101 projek sektor perkhidmatan (RM18.4 bilion) dan 71 projek sektor pembuatan (RM10.7 bilion)

Selain itu, RM65.5 bilion pelaburan berpotensi tinggi kini dalam rundingan aktif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN