PETALING JAYA:Langkah kerajaan mengurangkan kuota subsidi bahan api BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh kedudukan fiskal negara, tanpa menjejaskan kebajikan golongan sasar yang benar-benar memerlukan.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, langkah pengehadan itu secara langsung membantu mengurangkan perbelanjaan subsidi keseluruhan kerajaan, khususnya dalam persekitaran harga minyak mentah global yang kekal tinggi.
Menurut beliau, setiap liter subsidi membawa kos yang besar kepada kantung negara, justeru penyelarasan kuota ini membolehkan kerajaan mengawal perbelanjaan tanpa perlu menghapuskan bantuan tersebut sepenuhnya.
“Majoriti pengguna sebenarnya menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan. Oleh itu, langkah ini lebih tertumpu kepada usaha mengawal penggunaan berlebihan dan mengelakkan ketirisan, sekali gus memastikan agihan subsidi lebih efisien dan sampai kepada kumpulan sasar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai aspek kecekapan agihan, Idham berkata, rasionalisasi itu berpotensi meningkatkan keberkesanan subsidi dengan menjadikannya lebih bersasar dan berdisiplin berdasarkan corak penggunaan sebenar rakyat.
Tambahnya, penyelarasan kepada tahap yang lebih realistik itu memastikan subsidi tidak lagi dinikmati secara berlebihan oleh pihak tertentu, sekali gus membantu mengoptimumkan penggunaan sumber fiskal dan mengurangkan pembaziran.
“Dalam jangka masa sederhana dan panjang, pendekatan ini menyumbang kepada kedudukan kewangan kerajaan yang lebih mampan. Ia mengimbangi keperluan melindungi rakyat dengan keperluan mengawal defisit serta hutang negara.
“Selain itu, ia memberi ruang kepada pelaksanaan reformasi subsidi secara lebih teratur dan berperingkat, yang akhirnya akan mengukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan pasaran global,” tambahnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, pengurangan kuota subsidi adalah langkah signifikan bagi mengurangkan beban fiskal kerajaan, terutamanya ketika harga minyak mentah dunia tertekan akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Katanya, memandangkan subsidi dikira berdasarkan perbezaan harga pasaran dan harga siling, langkah ini dapat mewujudkan penampan fiskal bagi menampung kejutan luaran tanpa menjejaskan perbelanjaan pembangunan negara.
“Namun, kesan ini perlu dilihat dari pelbagai dimensi. Bagi pengguna berpendapatan rendah dan sederhana yang berintensiti tinggi seperti mereka yang berulang-alik jauh ke tempat kerja, pemandu e-hailing dan pekerja gig, had 200 liter ini akan meningkatkan tekanan kos sara hidup kerana baki penggunaan perlu dibayar pada harga pasaran.
“Walaupun ia mencetuskan perubahan tingkah laku yang positif seperti perancangan perjalanan yang lebih cekap dan perkongsian kenderaan, kita tidak mahu rakyat menjadi ‘stagnant’ atau pergerakan ekonomi domestik menjadi perlahan akibat ketidakupayaan masyarakat untuk bergerak demi penjimatan,” katanya.
Mengulas mengenai kecekapan agihan, beliau berkata, peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar ini sebagai langkah tepat untuk memastikan bantuan hanya dinikmati oleh mereka yang benar-benar memerlukan, bukannya untuk penggunaan berlebihan atau aktiviti komersial terselindung.
Bagaimanapun, kejayaan langkah ini bergantung kepada prasyarat yang kritikal iaitu ketepatan sasaran dan penguatkuasaan yang tegas bagi mengelakkan manipulasi serta penyalahgunaan kuota.
“Kerajaan perlu mengimbangi antara keperluan fiskal dan perlindungan kepada pengguna. Kita mahu pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kukuh, namun pada masa yang sama, kebajikan rakyat terutamanya golongan rentan dan mereka yang bekerja jauh dari kediaman terus terjamin,” tambahnya.-UTUSAN











