PETALING JAYA: KSL Holdings Berhad (KSL) melancarkan projek perbandaran utamanya, Riveria Garden di Iskandar Puteri yang terletak secara strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Projek pembangunan bersepadu seluas 415.2 hektar itu membawa anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM15 bilion, sekali gus menjadi pembangunan perbandaran terbesar dalam sejarah kumpulan.
Bagi fasa pertama, KSL membangunkan kawasan seluas 40.4 hektar dengan nilai GDV sebanyak RM2.03 bilion pada 2026, merangkumi 1,074 kediaman atas tanah, 2,160 pangsapuri perkhidmatan serta 82 unit kedai runcit.
Pengarah Eksekutif KSL Holdings Berhad, Khoo Lee Feng berkata, Riveria Garden menandakan peristiwa penting bagi Iskandar Puteri dengan memperkenalkan perbandaran lestari yang menyokong cita-cita serantau JS-SEZ.
“Setelah mencapai RM1.35 bilion jualan hartanah pada tahun kewangan 2025, rangkaian projek kumpulan yang teguh kini menyokong sasaran jualan RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2026.
“Pelan induk Riveria Garden ini meningkatkan skala KSL ke tahap baharu dan mengukuhkan keterlihatan pertumbuhan jangka panjang kami bagi tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, fasa permulaan itu memperkenalkan siri Aluna yang terdiri daripada 530 unit rumah teres dua tingkat dan siri Elora merangkumi 544 unit rumah kluster dua tingkat.
Perbandaran ini turut dilengkapi dengan taman landskap tepi sungai serta kelab kesihatan premium bernilai RM20 juta untuk komuniti.
Dari segi ketersambungan, lokasi projek ini mendapat manfaat daripada persimpangan Sultan Ismail dan Lebuhraya Kota Iskandar yang dijadualkan siap pada Mac 2026.
Kemudahan itu membolehkan perjalanan ke Laluan Kedua Malaysia-Singapura (CIQ) hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit pemanduan.
Selain itu, Riveria Garden dikelilingi oleh kemudahan sedia ada termasuk LEGOLAND Malaysia, Kelab Golf Horizon Hills serta institusi kesihatan dan pendidikan swasta terkemuka.
Melangkah ke hadapan, pelan induk pelbagai tahun ini dijangka menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan mampan KSL, sekali gus mengukuhkan kedudukan perbandaran tersebut sebagai destinasi kediaman premium di JS-SEZ.-UTUSAN










