KUALA LUMPUR: Pasaran minyak global kini amat dipengaruhi oleh tempoh konflik geopolitik yang sedang berlaku, di mana risiko gangguan bekalan tenaga dijangka meningkat sekiranya peperangan berlanjutan lebih lama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga minyak yang tinggi lazimnya memberi manfaat kepada pemain industri minyak dan gas, khususnya syarikat yang terlibat dalam sektor huluan seperti aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak serta gas.
“Namun begitu, bagi sektor ekonomi lain, kesannya bergantung kepada perubahan dasar subsidi bahan api, terutama jika berlaku kenaikan harga bahan api seperti diesel di stesen pam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, kenaikan harga diesel berpotensi memberi tekanan kepada sektor perniagaan kerana ia meningkatkan kos logistik dan operasi.
“Ketegangan geopolitik susulan konflik yang melibatkan Iran dilihat menjadi faktor utama yang menggerakkan kenaikan harga minyak global ketika ini apabila Selat Hormuz digunakan sebagai ‘senjata ekonomi’ dengan menyekat laluan kapal yang membawa produk minyak dan gas.
“Laluan strategik itu mengendalikan sekitar 30 peratus bekalan bahan api global, justeru sebarang gangguan terhadap pergerakan kapal di kawasan tersebut memberi kesan langsung kepada bekalan minyak dunia, khususnya bagi negara yang bergantung kepada import tenaga seperti China, India, Korea Selatan dan Jepun,” katanya.
Beliau berkata, Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat ketika komuniti global memberi tumpuan terhadap kesan penutupan Selat Hormuz.
Menurut Mohd.Afzanizam, sukar untuk menjangkakan perkembangan harga minyak dalam tempoh terdekat memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang masih tinggi.
Katanya, kerajaan berkemungkinan sedang menjalankan pembinaan senario bagi menilai kesan konflik tersebut terhadap ekonomi domestik.
“Ketika ini pendekatan yang diambil adalah lebih berhati-hati kerana kita masih belum pasti sejauh mana konflik ini akan berlarutan dan bagaimana ia akan mempengaruhi ekonomi Malaysia,” katanya.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 2.17 peratus, kepada AS$105.31 setong pada selepas meningkat AS$2.68 pada Jumaat.
Sementara itu, West Texas Intermediate crude (WTI) Amerika Syarikat menaik 1.15 peratus kepada AS$99.86 setong, selepas naik hampir AS$3 pada sesi sebelumnya.
Kedua-dua penanda aras minyak ini telah melonjak lebih 40 peratus bulan ini, mencapai paras tertinggi sejak 2022, selepas serangan AS–Israel ke atas Iran mendorong Tehran menghentikan penghantaran melalui Selat Hormuz, laluan yang menyalurkan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, sekali gus mencetuskan gangguan terbesar dalam bekalan global.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, harga minyak mentah yang tinggi ketika ini dilihat memberikan manfaat kepada negara pengeksport minyak seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas), terutamanya bagi syarikat yang terlibat dalam sektor huluan (upstream).
“Peningkatan harga minyak mentah secara langsung meningkatkan pendapatan huluan Petronas kerana margin jualan menjadi lebih tinggi.
“Selain itu, harga minyak yang tinggi berpotensi membolehkan Petronas menyalurkan dividen lebih besar kepada kerajaan, dengan syarikat itu menganggarkan kira-kira RM20 bilion dividen pada 2026 dan jumlah ini mungkin meningkat sekiranya keuntungan melebihi jangkaan.
“Bagaimanapun, terdapat risiko pengimbang yang boleh menjejaskan manfaat bersih kepada negara,” katanya.
Selain itu, jelasnya, Malaysia masih mengimport sebahagian produk petroleum bertapis dan peningkatan kos import boleh mengurangkan keuntungan bersih.
“Tambahan pula, subsidi petrol dan diesel yang diberikan oleh kerajaan turut menyerap sebahagian manfaat melalui tekanan fiskal.
“Walaupun Petronas menikmati keuntungan daripada harga minyak yang tinggi, kerajaan perlu menyeimbangkan antara manfaat syarikat dan kos subsidi yang ditanggung untuk rakyat. Situasi ini memerlukan pendekatan berhati-hati dalam perancangan fiskal,” katanya. -UTUSAN










