KUALA LUMPUR: Sektor perubatan dijangka tidak terkesan oleh ketidaktentuan geopolitik global sebaliknya industri ini akan terus menunjukkan prestasi kukuh sepanjang tahun, disokong oleh permintaan yang stabil terhadap perkhidmatan kesihatan.
Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, pasaran utama pelancong perubatan syarikat adalah dari ASEAN dan China, dengan sebahagian besar pelancong asing perubatan kami adalah dari Indonesia, China dan Kemboja.
“Dalam menilai situasi berkaitan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran, kami sebenarnya menjangkakan kemungkinan peningkatan pelancong perubatan dari Asia Barat, memandangkan rantau tersebut, khususnya Dubai, juga merupakan hab pelancongan perubatan serantau.
“Oleh itu, mungkin akan berlaku peralihan dalam kalangan pelancong perubatan dari Asia Barat yang sebelum ini mendapatkan rawatan di sana untuk datang ke sini.
“Kami yakin dengan prospek pelancongan perubatan untuk tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian Sunway Healthcare Holdings Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad di sini semalam.
Sunway Healthcare Holdings Bhd membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.70 sesaham, premium 25 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) IPO RM1.45, dengan 36.2 juta saham diniagakan.
IPO tersebut menjana RM3.3 bilion, menjadikannya IPO terbesar di Malaysia dalam tempoh sembilan tahun dan IPO kedua terbesar dalam sektor kesihatan di ASEAN setakat ini.
Dalam pada itu, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, kemungkinan transaksi terlebih nilai dalam industri penjagaan kesihatan terus menjadi perhatian pasaran, namun penilaian semasa masih disokong oleh asas perniagaan yang kukuh serta prospek pertumbuhan jangka sederhana dan panjang.
“Hospital yang mempunyai reputasi kukuh dilihat berupaya menarik pakar perunding berkemahiran tinggi, yang merupakan komponen kritikal dalam penyampaian perkhidmatan perubatan berkualiti.
“Selain itu, kekurangan jururawat di peringkat global turut memberi kesan kepada industri. Malaysia kini berdepan aliran keluar tenaga kejururawatan ke luar negara seperti Asia Barat dan Singapura.
“Bagaimanapun, perkembangan geopolitik semasa telah mendorong peningkatan pertanyaan daripada jururawat Malaysia di luar negara yang berminat untuk kembali berkhidmat di tanah air,” katanya.
Jeffrey berkata, hospital yang mempunyai kemudahan lengkap dan kedudukan pasaran yang kukuh berada dalam posisi lebih baik untuk menarik semula tenaga kerja tempatan, sekali gus mengurangkan tekanan kekurangan sumber manusia.
“Faktor sokongan lain termasuk kerjasama dengan syarikat insurans. Penyertaan hospital dalam panel insurans memudahkan pesakit mendapatkan rawatan tanpa perlu membuat bayaran pendahuluan, sekali gus meningkatkan aliran pesakit dan kecekapan operasi,” katanya.
Dari sudut prestasi kewangan, beliau berkata, hospital yang mempunyai jenama kukuh dilaporkan mencatat jumlah pesakit dan margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding sebahagian penyedia lain.
“Unjuran bagi tempoh 2025 hingga 2027 juga menunjukkan peningkatan berterusan dari segi margin dan pertumbuhan operasi,” katanya. – UTUSAN










