PETALING JAYA: Keuntungan teras syarikat tersenarai Malaysia mencatat peningkatan 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM8.9 bilion bagi suku keempat 2025, disokong oleh pertumbuhan pendapatan sebanyak 2.6 peratus, kata BIMB Securities Sdn. Bhd.
Bagaimanapun, firma pemborkeran berkata, keuntungan keseluruhan merosot 14.3 peratus tahun ke tahun pada suku tersebut akibat kerugian besar dalam sektor petrokimia serta caj susut nilai yang diiktiraf oleh MISC Berhad (MISC), MSM Holdings Berhad (MSM) dan Dagang NeXchange Bhd. (DNeX).
Katanya, kira-kira 57 peratus laporan keuntungan selaras dengan jangkaan, 24 peratus melebihi jangkaan dan 19 peratus kurang daripada ramalan.
“Syarikat yang mencatat prestasi melebihi jangkaan termasuk Sunway Construction Group Berhad, Zetrix AI Bhd., Westport Holdings Bhd. dan Al-Salam REIT.
“Sementara itu, Petronas Chemicals, DNeX, MSM, SkyWorld Development Berhad dan Matrix Concepts Hodlings Bhd. mencatat kejutan negatif,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam kitaran ini, BIMB Securities membuat 12 perubahan cadangan saham, dengan sembilan dinaik taraf termasuk IHH Healthcare Berhad, KPJ Healthcare Bhd. (KPJ), Ranhill Utilities Berhad dan Dayang Enterprise Holdings Bhd. atas prospek yang meningkat, serta tiga diturunkan termasuk Wellcall Holdings Bhd. kerana asas kewangan yang lebih lemah.
Walau bagaimanapun, firma berkata, semakan ramalan keuntungan tahun kewangan 2026 adalah minimum dan prospek pertumbuhan bagi tahun 2026 dijangka kukuh sekitar enam peratus.
“Momentum domestik Malaysia kekal mantap, disokong oleh hasil pelancongan yang kukuh dan perbelanjaan budi bicara yang sihat, manakala tema pusat data dan sektor kesihatan terus menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan,” ujarnya.
Bagi pasaran saham pula, BIMB Securities mengekalkan sasaran FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBMKLCI) pada 1,760, disokong oleh struktur pasaran yang defensif, langkah fiskal berterusan, asas eksport yang pelbagai serta aliran masuk bersih dana asing sebanyak RM1.28 bilion setakat tahun ini. – UTUSAN










