PETALING JAYA: Sentimen pasaran yang berhati-hati susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat dijangka terus mempengaruhi pergerakan Bursa Malaysia dalam tempoh terdekat, dengan indeks penanda aras berpotensi bergerak dalam julat sempit.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sentimen mengelak risiko dijangka terus mendominasi pasaran ketika pelabur menilai perkembangan konflik di rantau Asia Barat.
Menurutnya, keadaan itu berkemungkinan menyebabkan indeks utama Bursa Malaysia tidak banyak berubah dan bergerak sekitar 1,700 hingga 1,720 mata dalam jangka masa terdekat.
“Jelas pergolakan geopolitik di Asia Barat telah menyebabkan sentimen pelabur berubah ketara dengan ramai pengurus dana membuat penyusunan semula portfolio ke arah dolar Amerika Syarikat (AS) dan emas sebagai lindung nilai risiko.
“Ini juga mempengaruhi aliran pelaburan di Bursa Malaysia. Peralihan kepada aset selamat mencerminkan kebimbangan terhadap gangguan aliran minyak mentah yang berpotensi berlarutan untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, indeks penanda arasa FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBMKLCI) buat masa ini masih berjaya mengekalkan paras di atas 1700 mata.
“Minggu lalu, FBMKLCI turun di bawah paras 1700 mata apabila berita berkenaan perang Iran bermula pada 28 Februari dan peserta masih berada di fasa memproses maklumat tersebut dan bagaimana perkara tersebut memberi kesan kepada ekonomi global dan tempatan.
“Saham-saham berkaitan minyak dan das dilihat mencatatkan kenaikan minggu lalu berikutan harga minyak mentah Brent terus meningkat ke paras AS$92 (RM363) setong.
“Minggu ini, sentimen pasaran dijangka terus berhati-hati dengan 1700 mata masih menjadi para psikologi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, prestasi FBMKLCI dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat dengan pergerakan yang cenderung mendatar.
Katanya, sentimen pelabur masih dipengaruhi oleh faktor luaran termasuk perkembangan geopolitik dan hala tuju dasar monetari global.
“Dalam tempoh terdekat, sektor perbankan, tenaga dan teknologi dijangka terus menjadi pemacu utama pasaran. Sektor perbankan disokong oleh asas kewangan yang kukuh serta pertumbuhan kredit yang stabil, manakala sektor tenaga berpotensi mendapat manfaat daripada pergerakan harga minyak global.
“Selain itu, momentum pelaburan domestik dan pelaksanaan projek pembangunan negara juga boleh menyokong sentimen pasaran.
“Pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru diumumkan akan terus menyokong aktiviti ekonomi dan permintaan domestik negara,” jelasnya.
Tambah beliau, ketegangan geopolitik di Asia Barat berpotensi meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global, khususnya melalui kesannya terhadap harga minyak dan kos perdagangan antarabangsa.
Dalam situasi ini, beliau berkata, pelabur cenderung mengurangkan pendedahan kepada aset berisiko dan beralih kepada aset selamat, sekali gus meningkatkan turun naik dalam pasaran saham global dan serantau.
“Para pelabur akan memindahkan modal mereka ke negara yang lebih selamat yang dapat mengurangkan ketidaktentuan pasaran demi mengurangkan risiko
“Risiko utama yang perlu diperhatikan termasuk perubahan dasar kadar faedah di ekonomi utama seperti AS yang boleh mempengaruhi aliran dana asing ke pasaran sedang membangun.
“Selain itu, ketegangan geopolitik, turun naik harga komoditi serta ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi global juga boleh memberi tekanan kepada sentimen pasaran dalam tempoh terdekat. Pendek kata, semua bergantung kepada harga minyak dan berapa lama konflik di Asia Barat,” katanya. – UTUSAN










