Kesan kenaikan harga minyak mula dirasai syarikat tempatan - Utusan Malaysia

Kesan kenaikan harga minyak mula dirasai syarikat tempatan

KONFLIK berterusan Russia-Ukraine dan jangkaan kemelesetan ekonomi global menyebabkan harga minyak tidak stabil di pasaran global. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesan kenaikan harga minyak mula dirasai oleh syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) susulan konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang masih berlarutan.

Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, kos operasi meningkat dengan ketara, terutamanya melibatkan penggunaan diesel yang meluas dalam sektor perkilangan.

“Kita perlu menggesa pemimpin dunia supaya menghentikan konflik yang berterusan terhadap Iran bagi menstabilkan pasaran tenaga antarabangsa.

“Ini kerana ketidaktentuan geopolitik ini boleh mencetuskan kemelesetan ekonomi global yang lebih teruk menjelang pertengahan tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, harga minyak global juga berpotensi melonjak sehingga AS$200 setong (RM940 hingga RM960 setong) dengan ketara sekiranya konflik geopolitik berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Sasaran itu boleh berlaku sekiranya perang berlanjutan sehingga bulan Mei sekali gus memberi tekanan besar kepada ekonomi global.

“Komuniti antarabangsa perlu memainkan peranan lebih aktif dengan mendesak agar konflik dihentikan tanpa syarat, bagi mengelakkan kesan rantaian yang lebih besar terhadap kestabilan ekonomi dan kesejahteraan global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr.Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga minyak mentah Brent dilihat terus meningkat ke paras AS$112 (RM532) setong berikutan konflik peperangan di Iran yang kini berlarutan sehingga hari ke-20.

“Serangan yang melibatkan kawasan pengeluaran minyak dan gas telah menjadi sasaran utama, di samping penutupan Selat Hormuz yang mengganggu aliran perdagangan dalam industri minyak dan gas global,” katanya.

Jelas beliau, memandangkan keadaan peperangan masih belum menunjukkan tanda-tanda reda, harga minyak mentah global dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat, sekali gus meningkatkan tekanan kos kepada ekonomi dunia serta negara pengimport tenaga.

Terdahulu, harga minyak mentah Brent pernah mencecah paras tertinggi sekitar AS$118 setong (RM560.50) pada peringkat awal konflik tersebut.

Harga minyak meningkat sehingga tiga peratus pada Khamis selepas Iran menyerang beberapa kemudahan tenaga di seluruh Asia Barat susulan serangan ke atas medan gas South Pars miliknya, sekali gus menandakan peningkatan ketegangan yang besar dalam konflik Tehran dengan AS dan Israel.

QatarEnergy memaklumkan pada Rabu bahawa serangan peluru berpandu Iran ke atas Ras Laffan, lokasi utama operasi pemprosesan LNG Qatar, telah menyebabkan “kerosakan besar” kepada hab tenaganya.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menutup sebahagian operasi tenaga sebagai tindak balas terhadap insiden di kemudahan gas Habshan dan medan minyak Bab yang berpunca daripada serpihan peluru berpandu yang dipintas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN