Kadar pengangguran kekal 2.9 peratus pada Januari

Kadar pengangguran kekal 2.9 peratus pada Januari

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran buruh negara kekal stabil, merekodkan kadar pengangguran 2.9 peratus pada Januari 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara pada Januari terus berkembang selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, dengan pertumbuhan guna tenaga yang stabil serta kadar pengangguran yang kekal rendah. 

Katanya, tenaga buruh terus menunjukkan momentum positif pada bulan tersebut, meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.28 juta orang (Disemberʳ 2025: 17.27 juta orang). 

“Selaras dengan itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus (Disember 2025: 70.8 peratus), menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. 

“Bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada bulan tersebut dengan peningkatan marginal 0.04 peratus kepada 16.77 juta orang daripada 16.76 juta orang pada Disember 2025,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bilangan penganggur merekodkan sedikit pertambahan iaitu sebanyak 0.3 peratus, mencecah 509,600 orang (Disember 2025: 508,00 orang), namun kadar pengangguran Januari kekal pada 2.9 peratus, seperti bulan yang lalu. 

Tambahnya, 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja berada dalam kategori pekerja dan meningkat 0.03 peratus kepada 12.59 juta orang pada Januari 2026 (Disember 2025: 12.58 juta orang). 

“Begitu juga, bilangan bekerja sendiri bertambah 0.1 peratus kepada 3.13 juta orang, berbanding 3.12 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Sektor perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan. 

“Sektor pertanian, pembuatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian juga mencatatkan pertumbuhan positif dalam guna tenaga,” ujarnya.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu naik 0.8 peratus kepada 242,700 orang pada Januari 2026, berbanding 240,900 orang pada Disember 2025. 

“Dalam masa yang sama, guna tenaga tidak penuh berkaitan masa, yang merujuk sebagai mereka yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup menerima tambahan jam bekerja, meningkat 1.0 peratus kepada 133,500 orang.

“Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa tidak berubah iaitu 0.8 peratus pada Januari 2026 seperti pada Disember 2025,”

Beliau berkata, mereka yang bersedia untuk bekerja dan sedang aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif merangkumi 79.8 peratus daripada jumlah penganggur, meningkat 0.3 peratus kepada 406,900 orang.

“Dari segi tempoh pengangguran dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 63.8 peratus, manakala 5.1 peratus merupakan mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun. 

“Sementara itu, bilangan penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, turut naik sebanyak 0.3 peratus kepada 102,800 orang berbanding bulan sebelumnya,” jelasnya.

Tambahnya, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun 0.1 mata peratus kepada 10.2 peratus mencatatkan 289,700 penganggur belia pada Januari, manakala kadar pengangguran berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada 6.2 peratus, dengan 390,500 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, pasaran buruh Malaysia pada bulan-bulan seterusnya dijangka kekal utuh dengan kadar pengangguran yang terus rendah, mencerminkan kedudukan tenaga buruh yang kukuh. 

“Penyertaan tenaga buruh juga diramal kekal stabil berikutan pemulihan seimbang sektor perkhidmatan, pelancongan dan eksport teknologi. 

“Meskipun terdapat ketidaktentuan global, asas ekonomi domestik yang kukuh dan permintaan dan penawaran buruh yang stabil dijangka akan terus menyokong pertumbuhan pasaran buruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN