PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka mengumumkan kadar dividen kompetitif bagi 2025, berpotensi sekitar 3.0 peratus hingga 3.5 peratus bergantung kepada prestasi pelaburan sepanjang tahun kewangan semasa.
Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, jangkaan itu disebabkan TH secara tradisinya mengekalkan pendekatan pelaburan yang konservatif dan berhemat.
“Fokus utama institusi ini bukan sahaja memaksimumkan pulangan, tetapi memastikan pelaburan kekal selamat, stabil dan patuh syariah demi melindungi kepentingan jutaan pendeposit dalam jangka panjang.
“Prestasi pasaran kewangan dan saham syarikat tersenarai di FTSE Bursa Malaysia KLCI juga memberi kesan langsung kepada pulangan portfolio ekuiti TH.
“Selain itu, pendapatan daripada sektor hartanah serta pelaburan di luar negara menyumbang kepada aliran pendapatan yang stabil bagi institusi itu.
“Pelaburan dalam sukuk dan instrumen patuh syariah turut menjadi sumber pulangan penting, terutamanya ketika kadar keuntungan global masih berada pada paras agak tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, keadaan ekonomi domestik dan global, termasuk pertumbuhan ekonomi Malaysia, kestabilan ringgit serta harga komoditi juga memberi kesan tidak langsung kepada prestasi pelaburan TH.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dividen TH berpotensi melebihi 3.25 peratus yang dicatatkan tahun lalu berikutan pertumbuhan ekonomi domestik 2025 yang melebihi ramalan, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat kepada 5.2 peratus.
“Pencapaian ini melebihi jangkaan awal 4.8 peratus malah lebih tinggi berbanding 2024 iaitu 5.1 peratus. Namun, pulangan dividen dijangka sederhana berikutan prestasi Bursa Malaysia hanya meningkat pada suku keempat 2025,” katanya.
Beliau berkata, TH juga melaburkan simpanan pendeposit dalam instrumen patuh syariah bagi menghasilkan pulangan kompetitif, terutama di Bursa Malaysia.
“Selain itu, pelaburan TH juga merangkumi instrumen terbitan kerajaan, sektor hartanah serta simpanan tetap serta pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2025 juga memastikan tiada lonjakan pulangan daripada simpanan tetap.
“Bagaimanapun, berikutan pergolakan di Timur Tengah, TH dijangka lebih berhati-hati dalam pelaburan 2026,” ujarnya.
Untuk rekod, TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, iaitu yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.92 bilion, berbanding RM2.72 bilion pada 2023.
Kadar berkenaan dicapai selepas mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775 peratus atau RM99.35 juta. – UTUSAN










