PETALING JAYA: Johor muncul sebagai destinasi pelaburan hartanah paling menonjol di Malaysia pada tahun ini, menawarkan gabungan kelebihan yang jarang ditemui kepada pelabur.
Ini termasuk kenaikan harga rumah paling pantas di negara ini, pulangan sewaan yang kukuh serta sokongan projek infrastruktur berskala besar yang dijangka terus merangsang pertumbuhan pasaran.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pihaknya melihat pasaran hartanah di seluruh Malaysia, Johor benar-benar menonjol ketika ini.
“Harga rumah di sana meningkat 5.3 peratus berdasarkan angka tahunan terkini daripada National Property Information Centre (Napic) iaitu beberapa kali lebih pantas berbanding purata nasional sebanyak 0.7 peratus dan lebih tinggi daripada mana-mana negeri lain.
“Prestasi yang mengatasi pasaran seperti ini sememangnya menarik minat pembeli,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kashif, Forest City SEZ, Zon Ekonomi Khas Johor- Singapura, Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura , serta gelombang berterusan pelaburan sektor pembuatan semuanya telah menyumbang kepada peningkatan permintaan pembeli dalam pasaran hartanah.
“Ini merupakan satu siri transformasi yang jarang berlaku dan boleh dianggap sekali seumur hidup, yang berpotensi menaikkan harga hartanah di pasaran tempatan secara kekal.
“Projek-projek ini menjadikan Johor sebagai magnet dan membantu menjelaskan pertumbuhan penduduknya yang pesat. Johor menjadi destinasi bagi hampir tiga daripada empat rakyat Malaysia yang berpindah antara negeri.
“Selain itu, jumlah penduduk di Johor meningkat sekitar 12.5 peratus setiap tahun. Pada kadar ini, populasi negeri tersebut boleh berganda dalam tempoh kira-kira enam tahun,” katanya.
Disamping itu, Johor juga menerima minat kukuh merentasi sempadan dari Singapura, China, bahagian lain di Asia serta Eropah dan Australia.
“Ringkasnya, Johor kini merupakan destinasi utama yang tidak berada pada kedudukan yang sama lima tahun lalu,” katanya.
Menurut Kashif, pulangan sewa kasar di Johor Bahru berada antara lima peratus hingga 6.5 peratus.
“Kadar faedah gadai janji bagi pinjaman perumahan biasa selama 30 tahun ketika ini sekitar 4.5 peratus. Ini bermakna dalam kebanyakan kes, pendapatan sewa daripada hartanah anda berkemungkinan lebih tinggi daripada kos pembiayaan.
“Pada masa sama, harga hartanah juga meningkat. Jika Johor terus berkembang pada kadar semasa, hartanah yang bernilai sekitar RM400,000 hari ini berpotensi mencecah lebih RM530,000 dalam tempoh lima tahun. Itu merupakan peningkatan nilai yang besar dengan hanya deposit yang kecil,” katanya.
Namun, Kashif berkata, tidak semua kawasan di Johor mempunyai prestasi yang sama.
Katanya, prestasi paling kukuh datang daripada rumah bertanah dengan harga antara RM400,000 hingga RM700,000, terutamanya di koridor pembangunan berhampiran infrastruktur baharu dan sempadan Singapura.
“Rumah teres dua hingga tiga tingkat merupakan jenis hartanah yang paling banyak urus niaga.
“Antara kawasan yang dilihat mempunyai minat pelabur yang tinggi ialah Iskandar Puteri, Tebrau, serta koridor RTS. Lokasi-lokasi ini mempunyai permintaan sewaan yang baik daripada golongan profesional dan pekerja rentas sempadan, selain menawarkan potensi kenaikan harga.
“Walau bagaimanapun, setiap pembeli perlu membuat kajian teliti sebelum membuat pembelian.Johor merupakan pasaran yang mempunyai asas ekonomi sebenar yang dipercayai oleh pelabur untuk jangka sederhana hingga panjang,’” katanya.
Dalam pada itu, Kashif berkata, Malaysia berkembang lebih pantas daripada jangkaan, inflasi berada pada tahap rendah dengan kadar faedah stabil.
“Ini biasanya merupakan keadaan yang ideal untuk pelaburan hartanah. Namun dalam Malaysia, Johor menawarkan gabungan terbaik antara pulangan sewa dan potensi pertumbuhan ketika ini dan menyatakannya sebagai pilihan utama saya untuk 2026,” katanya. – UTUSAN










