PETALING JAYA: Harga runcit petrol RON95 berisiko diselaraskan semula kepada paras RM2.05 seliter sekiranya kerajaan tidak lagi mampu menampung beban subsidi yang semakin meningkat susulan lonjakan harga minyak global.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota penyelidikannya berkata, tekanan fiskal tersebut berpunca daripada ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang telah menolak harga minyak mentah Brent melepasi paras AS$100 setong.
Menurut firma itu, skim bantuan semasa seperti Budi Madani RON95 (BUDI95) yang mengekalkan harga pada RM1.99 seliter mungkin terpaksa ditamatkan jika kos subsidi terus melambung tinggi.
“Setiap kenaikan AS$10 harga minyak mentah akan meningkatkan perbelanjaan subsidi kerajaan sebanyak RM3.4 bilion bagi RON95 dan RM800 juta bagi diesel.
“Walaupun kerajaan mendapat hasil tambahan daripada harga minyak tinggi, kesan keseluruhan terhadap kedudukan fiskal negara tetap negatif disebabkan lonjakan kos subsidi tersebut,” katanya.
Laporan itu turut merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang memberi bayangan mengenai kesukaran kerajaan untuk mengekalkan harga RON95 dalam tempoh lebih dua bulan sekiranya harga minyak dunia terus berada pada paras semasa.
Jika penyelarasan kepada RM2.05 seliter dilaksanakan, HLIB menganggarkan ia akan memberi kesan langsung kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia dengan kenaikan sekitar 0.1 mata peratusan.
Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus bagi memastikan kestabilan ekonomi dan mengawal inflasi dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu.
Walaupun Malaysia mendapat manfaat daripada eksport gas asli cecair (LNG) ketika harga tenaga dunia melonjak, kedudukan perdagangan minyak mentah negara dilihat semakin lemah akibat penurunan pengeluaran domestik.
“Malaysia kini lebih terdedah kepada kos import yang tinggi memandangkan sebahagian besar bekalan minyak mentah diimport dari negara Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” tambah firma itu.-UTUSAN










