KUALA LUMPUR: Gangguan atau sekatan sementara di Selat Hormuz berpotensi memberi kesan besar terhadap bekalan tenaga global, sekali gus meningkatkan harga minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) serta menambah tekanan kepada kos tenaga domestik.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata, risiko terhadap laluan transit tenaga penting itu perlu diberi perhatian serius berikutan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Katanya, tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran baru-baru ini telah meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran minyak dan gas global, sekali gus mencetuskan turun naik harga yang ketara.
“Kita telah melihat harga minyak melonjak apabila pasaran mengambil kira kemungkinan gangguan bekalan.
“Ini penting kepada Malaysia kerana LNG yang kita import dari Australia dan pembekal lain berkait rapat dengan harga minyak global,” katanya dalam ucapan pada Forum CEO OGSE100 Tahun Ke-3 2026 di sini hari ini.
Menurut Akmal Nasrullah, sebarang kenaikan mendadak harga minyak akan memberi kesan kepada kos tenaga industri, penjanaan elektrik dan perbelanjaan bahan api isi rumah.
Katanya, risiko utama yang perlu dipantau adalah Selat Hormuz, di mana walaupun penutupan atau sekatan bersifat sementara, ia boleh mengetatkan bekalan global dengan ketara.
“Penutupan atau sekatan di laluan transit tenaga yang penting ini boleh melonjakkan harga minyak mentah dan LNG global serta meningkatkan premium risiko bagi import tenaga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun kenaikan harga minyak berpotensi meningkatkan dividen Petronas dan hasil kerajaan, keadaan itu akan diimbangi oleh kenaikan kos produk petroleum bertapis yang diimport.
“Bagi perniagaan Malaysia dan sektor tenaga elektrik, keadaan ini mewujudkan ketidaktentuan terhadap kos bahan api, penetapan harga elektrik serta keselamatan tenaga secara keseluruhan.
“Justeru, penting untuk kita mempelbagaikan sumber tenaga, memperkukuh kapasiti penjanaan domestik dan mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu serta teknologi peralihan,” katanya.
Tambahnya, walaupun Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding sesetengah negara, perkembangan semasa membuktikan bahawa keselamatan tenaga tidak boleh dipisahkan daripada daya tahan ekonomi.
“Ia mengenai penyediaan sistem yang mampu mengekalkan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, mampu milik dan stabil walaupun berdepan ketidaktentuan global serta senario harga minyak tinggi,” katanya. – UTUSAN










