Ekonomi Malaysia berisiko susut bawah 4% tahun ini

Ekonomi Malaysia berisiko susut bawah 4% tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia berpotensi menyusut ke bawah paras 4.0 peratus tahun ini sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dan menjadi semakin serius.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, prospek pertumbuhan negara perlu disemak semula susulan krisis geopolitik yang sedang berlaku.

“Bagi 2026, pertumbuhan ekonomi negara sebelum ini diunjurkan sekitar 4.5 peratus, iaitu sedikit perlahan berbanding tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, jika konflik ini berpanjangan dan semakin serius, pertumbuhan ekonomi berkemungkinan turun ke bawah 4.0 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, konflik di Asia Barat ketika ini berpotensi mencetuskan krisis ekonomi dalam tempoh sederhana hingga panjang memandangkan ia tidak dijangka berakhir dalam masa terdekat, malah berkemungkinan berlanjutan melebihi setahun.

Katanya, sehubungan itu, perlu dinilai bagaimana pergolakan ini memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Antara impak paling ketara ketika ini ialah peningkatan kos logistik dan pengangkutan susulan faktor keselamatan.

“Selain itu, kos insurans turut meningkat, di samping kenaikan harga bahan api yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan global.

“Ekonomi Malaysia merupakan ekonomi yang sangat terbuka. Negara mengeksport lebih 80 peratus daripada keluaran dan pada masa sama mengimport lebih 80 peratus keperluan domestik.

“Justeru, sebarang perkembangan di luar negara akan memberi kesan kepada Malaysia, sama ada dari sudut harga eksport mahupun import, sekali gus mendedahkan negara kepada risiko ekonomi global,” ujarnya.

Mengulas jangkaan harga komoditi, beliau berkata, harga emas dijangka meningkat apabila pelabur beralih kepada aset selamat sebagai langkah lindung nilai.

“Begitu juga harga minyak yang dijangka terus meningkat berikutan ketidaktentuan geopolitik.

“Namun, pergerakan harga komoditi turut dipengaruhi spekulasi pasaran. Dalam banyak keadaan, turun naik harga tidak semestinya berpaksikan asas ekonomi semata-mata.

“Sebagai contoh, harga minyak boleh melonjak ke paras tinggi sebelum susut secara mendadak, begitu juga dengan emas.Ini menunjukkan wujud pengaruh pihak tertentu dalam pasaran yang mengambil peluang meraih keuntungan jangka pendek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, Malaysia bukan pengeluar minyak utama dunia, sebaliknya bertindak sebagai penerima harga (price taker) dalam pasaran global.

Beliau berkata, rizab minyak Malaysia dianggarkan sekitar 2.7 bilion tong yang hanya mampu bertahan kira-kira 12 tahun, berbanding Arab Saudi yang mempunyai rizab sebanyak 267 bilion tong.

“Malaysia mengeluarkan kira-kira 570,000 tong minyak sehari, namun penggunaan domestik mencecah sekitar 747,000 tong sehari, melebihi kapasiti pengeluaran.

“Selebihnya perlu diimport, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pengimport bersih minyak,” katanya.

Menurut beliau, dalam konteks pasaran minyak global, kedudukan Malaysia adalah kecil dan tidak mempunyai pengaruh besar terhadap penentuan harga dunia.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN