PETALING JAYA: Agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi 2026 dijangka berada dalam julat 3.25 peratus hingga 3.75 peratus dengan kecenderungan kekal sekitar 3.5 peratus sekiranya tiada kejutan besar dalam pasaran global.
Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, unjuran tersebut turut bergantung kepada kestabilan harga komoditi, khususnya minyak, selain pasaran kewangan yang tidak mengalami pembetulan ketara dalam tempoh terdekat.
“Bagaimanapun, kenaikan melebihi paras empat peratus dilihat kurang berkemungkinan kecuali berlaku lonjakan luar biasa dalam pasaran ekuiti atau pulangan daripada pelaburan strategik.
“Dalam pada itu, prestasi Tabung Haji masih berdepan risiko luaran, terutama daripada ketegangan geopolitik di Asia Barat dan gangguan terhadap laluan perdagangan global.
“Ini selain volatiliti pasaran kewangan serta ketidaktentuan hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, keadaan tersebut berpotensi menjejaskan nilai pelaburan luar negara, melemahkan sentimen pasaran ekuiti serta meningkatkan turun naik mata wang.
Kelmarin, TH mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 melibatkan RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.
Agihan itu merupakan yang tertinggi dalam lapan tahun, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik.
Bagaimanapun, Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kadar dividen institusi haji negara itu bagi tahun ini berpotensi merosot kepada 3.00 peratus susulan konflik di Asia Barat.
“Ini memandangkan institusi itu turut mempunyai pendedahan kepada pelaburan antarabangsa.
“TH dijangka berusaha mengekalkan kadar agihan keuntungan semasa, namun penurunan kepada sekitar tiga peratus masih boleh dianggap sebagai pencapaian yang baik dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar.
“Kelembapan ekonomi dunia, khususnya pasaran saham global seperti di New York, dijangka memberi kesan kepada pelaburan luar negara, sekali gus menjejaskan pulangan keseluruhan.
“Selain itu, faktor turun naik kadar pertukaran asing serta ketidaktentuan pasaran turut memberi tekanan kepada prestasi pelaburan domestik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ketegangan geopolitik seperti konflik melibatkan Iran, AS dan Israel berpotensi memberi kesan negatif kepada ekonomi global termasuk Malaysia sekiranya berlarutan.
Bagaimanapun, katanya, prestasi masa depan TH bergantung kepada keupayaan pengurusan dalam menyesuaikan strategi pelaburan berdepan cabaran semasa.
“Pengurusan TH telah membuktikan keupayaan mereka selama ini dalam melindungi prinsipal pendeposit serta menjana pulangan yang memuaskan,” katanya. – UTUSAN










