PETALING JAYA: Syarikat produk kesihatan dan kecantikan tempatan, D’Herbs Holdings (M) Sdn. Bhd. menyasarkan pertumbuhan jualan 50 peratus tahun ini, didorong peluasan rangkaian produk serta strategi perniagaan yang semakin pelbagai merangkumi segmen barangan keperluan rumah.
Pengasasnya, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berkata, sasaran tersebut dibuat susulan peningkatan permintaan terhadap produk keluaran syarikat, selain usaha memperluaskan model perniagaan yang tidak lagi tertumpu sepenuhnya kepada produk kosmetik.
Menurut beliau, selepas hampir dua dekad dalam industri, syarikat kini mengambil langkah baharu untuk mengembangkan portfolio produk merangkumi pelbagai kategori termasuk peralatan rumah, barangan elektrik serta keperluan harian.
“Saya sudah berniaga hampir 20 tahun dan melihat persaingan dalam industri kosmetik kini semakin sengit, apabila ramai pengusaha termasuk pempengaruh dan selebriti turut mengeluarkan produk sendiri.
“Justeru, kami merancang untuk memperluaskan perniagaan dengan menghasilkan lebih banyak produk keperluan harian, termasuk peralatan dapur, karpet dan barangan elektrik bagi mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas tayangan perdana filem jenama perayaan D’Herbs, Ya, Abah Saya Sekuriti, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara produk terbaharu yang mendapat sambutan menggalakkan ialah pengisar keluaran syarikat yang mencatatkan jualan lebih 100,000 unit dalam tempoh kurang sebulan selepas dilancarkan.
Selain itu, beberapa produk lain seperti karpet dan peralatan dapur turut menunjukkan prestasi jualan positif dengan jumlah jualan mencecah ratusan ribu unit sejak diperkenalkan ke pasaran.
Menurut Aliff Syukri, ketika ini D’Herbs menawarkan lebih 300 produk merangkumi pelbagai kategori dan menyasarkan jumlah tersebut meningkat kepada kira-kira 1,000 produk dalam tempoh setahun akan datang.
“Kami merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk termasuk pakaian asas, peralatan dapur seperti periuk dan kuali, serta pelbagai barangan elektrik rumah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut merancang untuk membangunkan sebuah pusat jualan berkonsepkan pusat beli-belah sendiri dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan syarikat.
Katanya, konsep tersebut akan menggabungkan pelbagai produk keluaran syarikat di bawah satu bumbung, sekali gus memberi pengalaman membeli-belah secara fizikal kepada pelanggan.
“Walaupun perniagaan dalam talian berkembang pesat, kami percaya model fizikal masih relevan. Apabila terlalu ramai pemain memberi tumpuan kepada jualan dalam talian, kami melihat peluang untuk mengimbangi strategi dengan memperkukuh kehadiran secara fizikal,” katanya.
Menurut beliau, perniagaan dalam talian pada masa kini turut berdepan cabaran termasuk struktur caj platform yang tinggi, selain persaingan harga yang agresif daripada produk luar negara yang ditawarkan pada harga jauh lebih rendah.
“Sebagai peniaga, kami perlu memastikan harga produk masih munasabah tanpa menjejaskan kualiti serta nilai jenama. Kami tidak mahu berlumba menurunkan harga sehingga menjejaskan standard produk,” katanya.
Selain pengembangan produk, D’Herbs juga terbuka kepada peluang kerjasama strategik dengan jenama lain sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan capaian pasaran.
Dalam jangka panjang, Aliff Syukri berharap syarikat dapat terus berkembang sebagai jenama tempatan yang menawarkan pelbagai produk mampu milik kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Saya tidak kisah jika produk kami disasarkan kepada B40 kerana itu merupakan sebahagian besar rakyat Malaysia. Yang penting, perniagaan ini dapat terus berkembang, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kekal relevan di pasaran,” katanya.-UTUSAN










