PETALING JAYA: Pereka fesyen tempatan, Christy Ng, merancang untuk memperluas jenamanya di Asia Tenggara tahun ini, dengan fokus utama ke Indonesia dan Filipina.
Pengasasnya, Christy Ng berkata, syarikat membuka lapan butik baru di Indonesia pada 2026.
“Jumlah ini termasuk lima butik yang sudah beroperasi di negara itu, iaitu di Gandaria City, Tunjungan Plaza, Puri Indah Mall, Summarecon Mall Bekasi dan Kota Kasablanka.
“Daripada lapan butik yang dirancang, tiga sudah dibuka pada 2026 dan dua lagi di lokasi strategik iaitu Paskal 23 dan Mall Kelapa Gading dijangka dibuka pertengahan tahun ini.
“Sementara itu, baki butik lain masih dalam peringkat perbincangan dan belum ditandatangani,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Christy Ng berkata, pengembangan ini bertujuan untuk menjangkau pasaran yang lebih luas dan memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat dengan pelanggan di pelbagai bandar utama Indonesia.
“Kami mahu membuka kedai lebih banyak kerana sambutan di Indonesia sangat baik. Populasi di sana sekitar 300 juta orang, jauh lebih besar daripada Malaysia yang mempunyai 30 juta orang,” katanya.
Di Malaysia, jenama ini kini mengendalikan 15 butik, sementara pengembangan akan terus dijalankan di seluruh Pulau Jawa.
Selain Indonesia, Christy Ng turut merancang pengembangan sebanyak lima butik di Filipina, termasuk pembukaan butik di SM Mega Mall dan satu lagi di kawasan popular BGC.
“Semua pembukaan ini dijangka berlaku dalam tahun yang sama,” katanya.
Dalam menghadapi persaingan yang semakin sengit, Christy menekankan pentingnya peningkatan kualiti produk.
Katanya, industri fesyen kini sangat mencabar tetapi menarik, terutama kerana persaingan daripada produk import dari China.
“Salah satu isu utama yang dihadapi adalah cetak rompak produk.
“Jenama kami telah menjadi sasaran cetak rompak di Malaysia, Indonesia dan Filipina, dengan ratusan penjual palsu aktif.
“Oleh itu, syarikat kini bekerjasama dengan platform e-dagang untuk menghapuskan penjual palsu dan senarai produk tiruan,” katanya.
Selain itu, Christy berkata, prestasi jenama di pasaran digital juga memberangsangkan.
“Kami merupakan salah satu jenama teratas di Shopee Indonesia dan menduduki tangga teratas dalam kategori fesyen di Filipina berdasarkan volum jualan.
“Kami merancang untuk pengembangan secara global di luar negara. Matlamat kami adalah untuk menjadi jenama bertaraf global,” katanya.-UTUSAN










