PETALING JAYA: Sebanyak tiga syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) digantung jualan singkat di bawah mekanisme Jualan Singkat Harian (IDSS) di Bursa Malaysia sepanjang hari ini.
Tiga syarikat tersebut ialah Hengyuan Refining Company Bhd, Petra Energy Bhd dan Hibiscus Petroleum Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengendali bursa itu memaklumkan penggantungan berkenaan dilaksanakan sepanjang hari selepas harga terakhir sekuriti yang diluluskan merosot lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan.
Menurutnya, aktiviti jualan singkat di bawah IDSS hanya akan diaktifkan semula esok (Rabu) pada pukul 8.30 pagi.
Setakat pukul 2.40 petang, saham Hengyuan Refining susut 28 sen kepada RM1.62, manakala saham Hibiscus Petroleum turun 24 sen kepada RM2.15.
Sementara itu, saham Petra Energy pula merosot 13 sen atau 15.57 peratus kepada 70 sen.
Pasaran Asia mencatatkan jualan serantau semalam berikutan lonjakan harga minyak mentah yang menjejaskan sentimen pelabur.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia kembali meningkat hari ini seiring kenaikan di Wall Street selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi isyarat bahawa konflik dengan Iran mungkin akan berakhir dalam masa terdekat.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent susut sehingga AS$94.49 (RM370.86) setong, setelah mencatatkan nilai tertinggi sejak 2022 pada AS$118 (RM468.42) setong, semalam. – UTUSAN










