PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup negatif, susulan kenyataan bercanggah antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berkaitan rundingan menamatkan konflik yang mendorong peningkatan semula harga minyak mentah.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.95 mata kepada 1,708.76 pada pukul 5 petang, berbanding 1,720.71 ketika ditutup pada Khamis lalu.
Indeks penanda aras dibuka tinggi pada 1,732.09.
Jumlah dagangan sebanyak 3.35 bilion unit bernilai RM4.03 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 967 berbanding 283 dengan 401 kaunter tidak berubah dan 1,114 tidak diniagakan.
Dalam pada itu, Nikkei Jepun naik 736.79 mata atau 1.43 peratus kepada 52,252.28 ketika berita ini ditulis.
Selain itu, STI Singapura meningkat 0.44 peratus kepada 4,862.43 manakala indeks KOSPI Korea Selatan naik 148.17 mata atau 2.74 peratus kepada 5,553.92. – UTUSAN











