PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka kekal dalam nada berhati-hati ini dengan tumpuan pelabur terarah kepada perkembangan konflik di Asia Barat serta impak lonjakan harga minyak mentah global terhadap ekonomi domestik.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang kini berada di bawah paras 1,700 mata, dijangka akan terus berdepan tekanan jualan jika ketegangan antara Iran dan kuasa Barat tidak menunjukkan tanda-tanda de-eskalasi.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, kejatuhan indeks ke paras 1,698.85 mata pada penutup Jumaat mencerminkan kebimbangan nyata pelabur terhadap gangguan rantaian bekalan tenaga, terutamanya melibatkan penutupan Selat Hormuz oleh kepimpinan baharu Tehran.
“Sentimen ‘risk-off’ atau mengelak risiko kini mendominasi pasaran. Kita dapat lihat pelabur mula beralih daripada kaunter wajaran tinggi seperti perbankan dan penjagaan kesihatan kepada aset yang lebih selamat atau kaunter yang mendapat manfaat langsung daripada kenaikan harga komoditi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut data dagangan, harga minyak mentah Brent yang kembali mencecah AS$100 (RM393) setong telah mencetuskan minat belian dalam sektor tenaga dan petroleum tempatan, namun ia tidak mencukupi untuk mengimbangi jualan besar-besaran dalam sektor lain.
Tambah beliau, selain faktor geopolitik, tumpuan pasaran minggu ini juga akan tertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada 17 hingga 18 Mac ini.
Katanya, keputusan Rizab Persekutuan (Fed) mengenai kadar faedah bakal memberi impak besar kepada aliran dana asing di pasaran sedang membangun termasuk Malaysia.
“Sokongan teknikal segera bagi FBM KLCI kini dilihat berada dalam julat 1,675 hingga 1,685 mata.
“Jika tekanan geopolitik ini berlarutan, kita mungkin melihat indeks menguji paras terendah Isnin lalu iaitu sekitar 1,674 mata sebelum cuba membina momentum pemulihan,” tambahnya.
Di peringkat domestik, pasaran turut menilai implikasi fiskal terhadap kerajaan sekiranya subsidi petrol RON95 terpaksa diselaraskan berikutan kenaikan kos import minyak mentah.
Ketidaktentuan ini dijangka akan mengehadkan aktiviti belian dalam tempoh terdekat.
Sementara itu,Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, ketidaktentuan geopolitik sememangnya memberi kesan segera kepada sentimen pelabur, namun kesannya terhadap Bursa Malaysia lazimnya bersifat sementara sekiranya tidak berlaku gangguan besar kepada perdagangan global.
Menurut beliau, lonjakan harga minyak mentah akibat konflik di Asia Barat boleh memberi kesan bercampur kepada pasaran tempatan kerana Malaysia merupakan pengeksport minyak dan gas.
“Dalam jangka pendek, sektor berkaitan tenaga berpotensi mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak. Namun, ketidaktentuan global dan kebimbangan terhadap inflasi yang lebih tinggi boleh menyebabkan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati.
“Situasi ini menyebabkan pelabur institusi dan dana asing cenderung mengurangkan pendedahan kepada pasaran sedang membangun termasuk Malaysia, sekali gus menekan prestasi FBM KLCI,” katanya.
Tambah beliau, pelabur juga dijangka terus memantau perkembangan dasar monetari AS kerana sebarang petunjuk bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedah tinggi lebih lama boleh meningkatkan aliran keluar dana asing dari pasaran serantau.
“Jika ketegangan geopolitik mereda dan harga komoditi kembali stabil, Bursa Malaysia berpotensi kembali pulih secara beransur-ansur, namun dalam tempoh terdekat pergerakan pasaran dijangka kekal tidak menentu,” katanya.
Sehingga kini, arah tuju Bursa Malaysia minggu ini sangat bergantung kepada harga minyak dunia dan kenyataan susulan daripada pemimpin kuasa besar dunia mengenai krisis di Asia Barat, selain unjuran ekonomi yang akan dikeluarkan oleh Fed.-UTUSAN










