PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) melancarkan tiga kempen utama bersempena Ramadan 2026 bagi menghargai pelanggan serta memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana (MSME) melalui penyelesaian kewangan Islam yang komprehensif dan ganjaran menarik.
Kempen “Tazkirah Ramadan Terindah Bersama” yang berlangsung dari 18 Februari hingga 18 Mac 2026 membuka peluang kepada orang awam untuk memenangi pelbagai hadiah istimewa, termasuk pakej Umrah atau percutian bernilai RM20,000, sebuah motosikal Modenas Elit 150S keluaran Modenas, emas bernilai RM3,000 serta pulangan tunai harian RM100.
Selain menggalakkan orang ramai memperkaya pengisian rohani melalui tontonan rancangan Tazkirah Ramadan yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3 dan Buletin TV9 sepanjang bulan Ramadan, kempen ini turut mengajak penonton merebut peluang memenangi hadiah menarik dengan menggunakan aplikasi digital ATLAS by Bank Muamalat serta berinteraksi dengan produk dan perkhidmatan perbankan yang ditawarkan oleh bank.
Bank Mualamat berkata, bagi menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan sepanjang musim perayaan dan pasca- Ramadan, bank turut memperkenalkan “BizSolution: DuitNow QR Campaign” dari 1 Mac hingga 31 Mei 2026 yang menyasarkan peniaga MSME dengan Akaun Semasa-i aktif.
“Kempen ini menggalakkan peningkatan transaksi melalui DuitNow QR dan menawarkan hadiah bernilai sehingga RM150,000 termasuk dua unit Modenas Elegan 250 EX serta pelbagai ganjaran wang tunai kepada pemenang yang layak.
“Ia dianjurkan melalui Kerjasama Bank Muamalat dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bagi memperluas penggunaan pembayaran digital dalam kalangan peniaga MSME,” katanya dalam kenyataan.
DuitNow QR ialah standard QR kebangsaan yang dikendalikan oleh PayNet, dengan hampir 3.5 juta titik sentuh di seluruh negara.
Selain itu, Bank Muamalat melalui Muamalat Pajak Gadai Islam turut menganjurkan kempen tahunan “Gadai Emas Menang Emas 4.0” yang berlangsung dari 1 Mac hingga 31 Disember 2026 di seluruh negara.
Kempen ini bertujuan menggalakkan masyarakat memanfaatkan kemudahan pembiayaan Ar-Rahnu patuh syariah sambil berpeluang memenangi pelbagai hadiah emas dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM400,000, termasuk hadiah utama pelbagai barangan emas serta hadiah bulanan berbentuk jongkong emas lima gram kepada 40 pemenang sepanjang tempoh kempen.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan dan peluang untuk kita memperkukuh hubungan dengan pelanggan serta komuniti perniagaan.
“Melalui penganjuran kempen- kempen ini, Bank Muamalat bukan sahaja ingin menawarkan ganjaran yang bermakna, malah terus komited menyediakan penyelesaian kewangan Islam yang relevan, mudah diakses dan menyokong kesejahteraan kewangan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Katanya, inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Bank untuk memperluas penggunaan transaksi digital, memperkukuh segmen Ar-Rahnu dan memperkasakan usahawan tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor berkata, kerjasama PayNet dengan Bank Muamalat memperkukuh penyertaan MSME sebagai pemacu utama ekonomi digital negara.
“Inisiatif ini selaras dengan agenda PayNet untuk memperkasakan peniaga kecil melalui pembayaran digital seperti DuitNow QR, meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing peniaga, terutamanya di kawasan luar bandar seperti Kelantan, Kedah, Pahang dan Johor, sambil merancakkan transaksi DuitNow QR sepanjang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kempen-kempen Bank Muamalat di bulan Ramadan, sila layari www.muamalat.com.my.- UTUSAN










