KUALA LUMPUR: Restoran makanan asli Melayu terkemuka, Banglo 289, menyasarkan 5,000 pengunjung bagi individu dan korporat bagii bufet Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Banglo 289, Shareen Farzida Sukri berkata, dengan bertemakan “Traditional Kampung Dishes with Soul and Journey”, bufet Ramadan tahun ini menampilkan keaslian masakan Melayu tradisional berasaskan penggunaan bahan segar berkualiti tinggi serta teknik penyediaan mengikut cara orang dahulu.
“Antara tarikan utama yang membezakan bufet Ramadan Banglo 289 daripada tawaran lain di pasaran adalah barisan menu eksklusif yang jarang diketengahkan, termasuk daging rusa yang diperkenalkan untuk tahun ketiga berturut-turut sebagai hidangan istimewa.
“Pengunjung turut berpeluang menikmati hidangan ikan sungai ‘rare’ dari Pahang seperti ikan krai, jelawat, patin dan baung, selain makanan laut premium termasuk udang galah, udang mantis dan mentarang segar.
“Selain itu, bufet ini turut menyajikan pelbagai hidangan klasik Melayu seperti masak lemak, asam pedas, lauk panggang berempah, sambal tradisional, ulam-ulaman, kuih-muih tradisional serta pencuci mulut nostalgia,” katanya ketika ditemui media sempena previu bufet Ramadan baru-baru ini.
Bagi Ramadan 2026, bufet ini akan ditawarkan di tiga cawangan utama Banglo 289, iaitu Banglo 289, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, Banglo 289, Elmina Lakeside Mall, Shah Alam serta Banglo 289, IOI City Mall, Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Banglo 289, Shareen Farzida Sukri berkata, pengenalan berterusan menu unik seperti daging rusa dan ikan sungai ‘unik’ merupakan usaha restoran itu untuk menawarkan pengalaman berbuka puasa yang lebih eksklusif dan bermakna.
“Bufet Ramadan bukan sekadar tentang kuantiti makanan, tetapi tentang rasa, kualiti dan pengalaman. Kami mahu setiap tetamu pulang dengan kenangan rasa yang mengingatkan mereka kepada masakan kampung dan nilai kekeluargaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Banglo 289 merancang untuk membuka cawangan keempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dalam masa terdekat susulan sambutan menggalakkan daripada pelanggan tempatan dan pelancong.
Menurutnya, langkah pengembangan itu sejajar dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026) yang menekankan pengalaman budaya dan gastronomi tempatan sebagai tarikan utama pelancongan negara.-UTUSAN










