PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM2.36 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 melibatkan dua dana harga tetap, Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).
Agihan pendapatan ASB 2 sebanyak RM820 juta, bersamaan 5.50 sen seunit kepada 680,141 pemegang unit yang memiliki 15.88 bilion unit.
ASM pula mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM1.54 bilion, bersamaan 5.00 sen seunit kepada 786,088 pemegang unit dengan pegangan sebanyak 31.22 bilion unit.
ASNB, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, sehingga 24 Mac 2026, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM900 juta, manakala ASM mencatatkan RM1.64 bilion.
Menurutnya, kedua-dua dana itu mencatatkan pulangan kompetitif dan mampan, dengan kadar pengagihan setara tahun kewangan sebelumnya meskipun berdepan persekitaran global mencabar.
“Prestasi ini dicapai walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar yang dipengaruhi oleh pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang serta peningkatan ketidaktentuan.
“Ini di samping ketegangan geopolitik yang semakin memuncak,” menurut kenyataan.
Pendekatan peruntukan aset berdisiplin berasaskan strategi jangka panjang dengan penekanan terhadap kepelbagaian portfolio merentasi kelas aset seperti pendapatan tetap, hartanah dan pelaburan persendirian terbukti berkesan dalam mengurus volatiliti pasaran.
Peruntukan lebih tinggi kepada aset pendapatan tetap turut menyumbang kepada kestabilan serta konsistensi pendapatan dalam tempoh ketidaktentuan yang meningkat.
Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM masing-masing bersamaan jumlah pulangan sebanyak 5.50 peratus dan 5.00 peratus, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 bulan Maybank sebanyak 2.18 peratus, iaitu 332 mata asas bagi ASB 2 dan 282 mata asas bagi ASM.
Pengiraan pengagihan pendapatan bagi kedua-dua dana adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum sepanjang tahun kewangan.
Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2026.
Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan serta ejen ASNB, termasuk saluran dalam talian dan perbankan internet, akan ditangguhkan sementara dari 27 hingga 31 Mac 2026 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh menyemak pengagihan dan meneruskan urus niaga melalui portal myASNB di www.myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB, serta di cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 April 2026.-UTUSAN











