PETALING JAYA: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) memperoleh pensijilan EDGE Lead, iaitu tahap pengiktirafan tertinggi di bawah Economic Dividends for Gender Equality (EDGE), selain menduduki tempat ke-4 dalam penarafan sulung Best Workplaces™ in Malaysia 2026 oleh Great Place To Work®.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Allianz Malaysia dalam memupuk budaya tempat kerja yang inklusif dan saksama, yang menyokong perkembangan serta kesejahteraan pekerja, sekali gus menetapkan penanda aras kecemerlangan tempat kerja di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, warga kerja merupakan nadi kejayaan syarikat yang dibina atas asas kepercayaan dan keterangkuman.
“Di Allianz Malaysia, kejayaan kami didorong oleh tenaga kerja kami. Pencapaian pensijilan EDGE Lead serta pengiktirafan sebagai antara tempat kerja terbaik di Malaysia membuktikan budaya kerja kami yang positif dan menyokong, yang memperkasa serta menghargai setiap pekerja,” katanya dalam kenyataan.
EDGE merupakan piawaian global utama bagi kesaksamaan tempat kerja dan kesetaraan gender.
Ia menilai organisasi melalui proses ketat termasuk tinjauan pekerja serta audit terhadap dasar dan amalan tempat kerja, dengan pensijilan diperbaharui setiap dua tahun.
Allianz Malaysia mula menerima pensijilan EDGE pada 2022 menerusi tahap EDGE Assess, diikuti EDGE Move pada 2024.
Tahun ini, syarikat berjaya mencapai tahap EDGE Lead, iaitu pencapaian tertinggi yang mencerminkan kemajuan berterusan dalam memperkukuh kesaksamaan gender dan keadilan di tempat kerja.
Budaya kerja yang memperkasa dan memberi ganjaran di Allianz Malaysia turut diiktiraf apabila syarikat itu disenaraikan di tempat ke-4 dalam penarafan Best Workplaces™ in Malaysia 2026 oleh Great Place To Work®.-UTUSAN











