ZUS Coffee perluas empayar melalui FMCG

ZUS Coffee perluas empayar melalui FMCG

NG CHUN HOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

SEGMEN barangan pengguna cepat laris (FMCG) ZUS Coffee merupakan jenama kopi segera yang berteraskan kualiti, kemudahan dan kemampuan harga, menawarkan pelbagai perisa popular untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Produk ini direka sebagai pilihan sempurna bagi mereka yang menghargai nikmat kecil dalam kehidupan seharian sambil mengekalkan gaya hidup yang sibuk dan moden.

Rangkaian kopi tempatan, ZUS Coffee, terus memperkukuh kedudukannya dalam industri kopi Malaysia apabila secara agresif mengembangkan FMCG sejak awal 2024, sebagai strategi untuk menembusi pasaran di luar rangkaian kedai fizikalnya.

Ikuti temubual bersama Wartawan Utusan Malaysia, ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI dan Jurugambar, SADDAM YUSOFF bersama Pengarah Bisnes ZUS Coffee FMCG, NG CHUN HOW di pejabatnya baru-baru ini.

UTUSAN: Ramai mengenali ZUS Coffee sebagai jenama kopi cawangan. Jadi bagaimana sebenarnya ZUS Coffee masuk ke dunia segmen FMCG?

CHUN HOW: Sebenarnya, ZUS Coffee bermula sepenuhnya sebagai jenama kopi cawangan dan menjual kopi ‘specialty’ segar terus kepada pelanggan.

Namun sejak awal lagi, kami sedar model cawangan mempunyai batasan dari segi capaian.

Pada Januari 2024, kami me­nubuhkan subsidiari khas untuk produk pengguna atau FMCG.

FMCG merujuk kepada pro­duk yang boleh dibeli dan disediakan sendiri oleh pengguna seperti kopi segera dan sedia untuk diminum (ready to drink) dalam tin.

Matlamat utama kami ialah untuk melayani lebih ramai pe­langgan termasuk mereka yang tidak semestinya boleh atau mahu datang ke cawangan fizikal.

 

Apakah masalah utama yang FMCG cuba tangani?

Isunya sangat jelas, akses dan jarak. Tidak semua orang tinggal ber­hampiran cawangan.

Kebiasaannya, cawangan ka­mi berada dalam radius lima hingga lapan kilometer dan bukan semua orang sanggup keluar semata-mata untuk membeli kopi.

FMCG diwujudkan untuk mem­beri pilihan kopi yang bo­leh dibuat di rumah, mudah didapati di kedai runcit berhampiran dan menjadi alternatif kepada mereka yang tidak sempat atau tidak mahu ke cawangan.

Melalui FMCG, pelanggan ma­sih boleh menikmati ZUS Coffee dalam format berbeza.

 

Selain faktor jarak, adakah faktor lain yang mendorong ZUS­ Coffee masuk FMCG?

Ya, satu lagi faktor utama ialah corak pengambilan kopi harian rakyat Malaysia.

Secara purata, pengguna mi­num sekurang-kurangnya dua cawan kopi sehari. Realitinya, cawan pertama biasanya dibeli di cawangan, secara ‘on-the-go’ ke tempat kerja. Cawan kedua pula selalunya selepas makan tengah hari atau waktu petang.

Namun, berkemungkinan kea­daan tidak mengizinkan untuk pembelian kopi di cawangan bagi kali kedua.

Jadi FMCG menjadi alternatif – pelanggan boleh buat kopi sendiri di pejabat dan beli produk sedia diminum di kedai berdekatan.

Kami tidak mengharapkan kedua-dua cawan datang dari cawangan. Strateginya ialah satu dari cawangan, satu dari FMCG.

 

Berapa banyak produk FMCG yang ZUS COFFEE ada sekarang?

Sehingga Disember 2025, ka­mi telah melancarkan 21 jenis produk (SKU) FMCG yang terdapat di lebih 23,000 ‘touchpoint’ di seluruh Malaysia.

Beberapa ‘touchpoint’ ini me­rangkumi kedai serbaneka, ste­sen minyak, kedai runcit tem­patan, pasar raya dan pasar ra­ya besar.

Liputan ini membolehkan ka­mi menembusi kawasan ban­dar kecil dan luar bandar.

 

Boleh jelaskan jenis-jenis pro­duk FMCG yang ditawarkan?

Produk FMCG kami terbahagi kepada dua kategori utama iaitu kopi segera dan minuman sedia diminum.

Di bawah sub-jenama ZUS Ngupi, terdapat empat jenis kopi segera termasuk Kopi Pu­tih, Kopi Coklat, Kopi Tarik dan Kopi Klasik.

Selain itu, kami menyediakan produk untuk diminum dalam bentuk tin, merangkumi sub-jenama ZUS Ngupi️, Expresso, Specialty Latte, dan COFFIZZ.

Keseluruhannya membentuk 21 jenis produk FMCG ZUS COFFEE yang berada di pasaran ketika ini.

 

Dari segi prestasi, bagaimana penerimaan pasaran terhadap FMCG ZUS Coffee?

Secara keseluruhan, penerimaan adalah sangat positif.

Setiap saluran mempunyai profil pelanggan berbeza iaitu kedai serbaneka melibatkan pelanggan muda, pembelian cepat dan mudah, dan ‘small indulgence’ (nikmat kecil).

Sementara itu, pasar raya dan kedai runcit lebih kepada pembelian isi rumah serta lebih berpandukan nilai. Ini membuktikan FMCG bukan produk ‘one-size-fits-all’, sebaliknya per­lu disesuaikan me­ngikut sa­luran dan segmen pengguna.

 

Adakah terdapat negeri atau kawasan yang menunjukkan pres­tasi lebih baik?

Ya, prestasi FMCG kami sangat kukuh di kawasan utara Semenanjung, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Kawasan ini biasanya lebih sukar untuk pembukaan ca­wangan disebabkan oleh faktor geografi dan mempunyai kuasa pembelian yang lebih rendah berbanding bandar utama. Namun kini, produk FMCG kami berjaya menutup jurang akses di kawasan-kawasan ini.

 

Adakah co­rak minum kopi di kawasan ini berbeza?

Mereka tetap me­nyukai ZUS Coffee, cuma lawatan ke cawangan mungkin hanya pada hujung minggu atau sempena acara tertentu.

Dengan FMCG, mereka boleh membawa ZUS Coffee balik ke rumah dengan membeli daripada kedai berhampiran tanpa perlu berjalan jauh. Ini sangat membantu golongan suri rumah dan pengguna luar bandar.

 

Bagaimana strategi harga FMCG ZUS Coffee?

Kami sangat menitikberatkan aspek mampu milik. Bagi kopi sedia diminum sekitar RM2.60 hingga RM5.00 dan kopi segera antara RM1.30 hingga RM2.90.

Harga ini membantu menye­lesaikan ‘pain point’ kemampuan pengguna, te­rutamanya jika di­bandingkan de­ngan harga minuman di cawangan.

Apakah nilai teras yang dibawa oleh FMCG ZUS Coffee?

ZUS Coffee berdiri atas tiga prinsip utama iaitu kualiti terbaik, kemudahan dan kemampuan harga. FMCG merupakan sambungan strategik kepada tiga ni­lai ini.

 

Bagaimana kerjasama de­ngan rakan runcit dijalankan?

Semua cawangan runcit adalah rakan kerjasama berpotensi kami. Antara contoh rakan niaga termasuk rangkaian kedai serbaneka, stesen minyak serta kerjasama dengan kedai runcit dan pasar raya, termasuk pelbagai kedai runcit tempatan.

Setiap kedai runcit akan men­jual produk-produk kami yang berbeza bergantung kepada profil pelanggan mereka.

 

Bagaimana pula dengan mu­sim perayaan?

Musim perayaan menunjukkan peningkatan jualan yang ketara, khususnya dalam ka­tegori Pek Hadiah, iaitu membeli kopi sebagai hadiah, serta perisa-perisa tertentu yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Selain itu, produk premium kami seperti ‘Superfine Instant Coffee’ sangat sesuai untuk pengguna yang pulang ke kampung dan berada jauh dari kafe. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×