Zchwantech raih status rakan kongsi peringkat lanjutan AWS

Zchwantech raih status rakan kongsi peringkat lanjutan AWS

KENNETH Oh (tiga dari kiri) bersama wakil Amazon Web Services (AWS) memperingati pencapaian Zchwantech dalam status Rakan Kongsi Perkhidmatan Peringkat Lanjutan AWS dan penganugerahan Jaket Emas AWS yang berprestij.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Zchwantech Sdn. Bhd. meraih status Rakan Kongsi Peringkat Lanjutan dalam Rangkaian Rakan Kongsi Amazon Web Services (AWS), sekali gus mengukuhkan keupayaan dalam penyampaian penyelesaian awan kritikal kepada pelanggan perusahaan dan sektor awam.

Syarikat penyedia penyelesaian teknologi tempatan itu menerima status itu sebagai tanda organisasi yang mempunyai rekod penyampaian projek pelanggan yang baik, kepakaran teknikal mendalam serta kematangan operasi dalam seni bina awan, keselamatan dan kebolehskalaan.

Pengerusinya, Datuk Seow Gim Shen berkata, pencapaian itu menjadi pengesahan terhadap pelaburan syarikat dalam pembangunan bakat, tadbir urus dan keupayaan pelaksanaan projek berskala besar.

“Pengiktirafan ini membuktikan kesediaan kami menyokong inisiatif awan, kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital yang kompleks, termasuk sistem berskala nasional dan misi kritikal.

“Kami membina keupayaan bertaraf global sambil kekal berakar di rantau ini, dengan fokus kepada penyelesaian yang selamat, berskala dan bersedia untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Zchwantech kini memiliki lebih 105 pensijilan AWS merangkumi bidang infrastruktur awan, data, AI, keselamatan dan DevOps, yang membolehkannya menyediakan penyelesaian berasaskan hasil kepada pelanggan.

Dalam perkembangan sama, Pengurus Awan dan Infrastruktur Zchwantech, Kenneth Oh menerima pengiktirafan AWS Golden Jacket, iaitu anugerah global yang jarang diberikan kepada individu yang memiliki sekurang-kurangnya 12 pensijilan AWS merentasi tahap bersekutu, profesional dan kepakaran.

Ujarnya, kurang daripada 20 individu di Malaysia di luar organisasi AWS menerima pengiktirafan tersebut.

“Setiap pensijilan yang diperoleh memberi nilai praktikal kepada reka bentuk seni bina sistem, tahap keselamatan serta daya tahan platform pelanggan.

“Setiap pensijilan diterjemahkan kepada seni bina lebih baik, keselamatan lebih kukuh dan sistem lebih berdaya tahan untuk pelanggan. Ia adalah penanda aras, bukan titik penamat,” katanya.

Sementara itu, wakil AWS berkata, rakan kongsi peringkat lanjutan menunjukkan kepakaran teknikal yang terbukti serta rekod konsisten dalam kejayaan pelanggan.

“Pencapaian status peringkat lanjutan dan AWS Golden Jacket ini mencerminkan komitmen tinggi dalam membina keupayaan awan mendalam serta penyampaian nilai kepada pelanggan yang memoden dan menskalakan operasi digital mereka,” katanya.

Zchwantech telah menggunakan perkhidmatan AWS sejak 2017 dan menyokong pelbagai beban kerja perusahaan serta kerajaan termasuk persekitaran pelayan maya berskala besar, seni bina tanpa pelayan dan platform berkapasiti tinggi.

Status baharu itu dijangka memperluas lagi penawaran penyelesaian awan, AI dan transformasi digital syarikat di rantau Asia Tenggara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN