PETALING JAYA: VentureTECH Sdn Bhd (VentureTECH) membuat pelaburan strategik berjumlah RM28 juta ke dalam Delta Spike Asia Sdn. Bhd. dan IX Telecom Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kekuatan keselamatan siber serta keupayaan infrastruktur digital rentas sempadan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Ahmad Redzuan Sidek berkata, pelaburan itu menegaskan peranan VentureTECH dalam menyokong syarikat milik Bumiputera yang beroperasi di persimpangan antara daya tahan nasional dan daya saing ekonomi.
“Pelaburan ini mencerminkan fokus VentureTECH dalam membina syarikat milik Malaysia yang kukuh, memenuhi keperluan sebenar industri dan berupaya berkembang secara mampan.
“Delta Spike dan IX Telecom masing-masing beroperasi dalam sektor kritikal kepada daya tahan negara daripada kesiapsiagaan keselamatan siber hingga kesalinghubungan digital rentas sempadan.
“Dengan menyokong syarikat milik Bumiputera yang mempunyai laluan komersial jelas dan keupayaan berskala, VentureTECH memainkan peranan pemangkin dalam memperkukuh kapasiti jangka panjang Malaysia.
“Ini di samping meletakkan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat serantau dan global,” katanya dalam kenyataan.
Pelaburan itu turutselari dengan mandat VentureTECH sebagai pelabur pemangkin, yang menyokong syarikat berasaskan fundamental kukuh, penyelesaian berbeza dan potensi menjana impak ekonomi serta sosial yang mampan.
Sejajar dengan pendekatan itu, VentureTECH memberi tumpuan kepada syarikat milik Malaysia yang mempunyai asas komersial kukuh, model perniagaan berskala dan keupayaan menjana impak jangka panjang.
Pelaburan tersebut juga berlandaskan syarikat yang memenuhi keperluan sebenar pasaran sambil mengukuhkan kapasiti domestik dalam sektor digital strategik.
Delta Spike merupakan syarikat mengendalikan model operasi keselamatan berasaskan Gen AI yang mengintegrasikan pengesanan ancaman, tindak balas insiden, ujian keselamatan ofensif dan forensik digital dalam ekosistem pertahanan siber bersepadu.
Syarikat itu mengurus ribuan aset digital merentas pelbagai negara, melibatkan pelanggan perusahaan, institusi kewangan dan penyedia telekomunikasi.
Sementara itu, IX Telecom menawarkan kesalinghubungan global, Everything-as-a-Service (XaaS) serta pengurusan infrastruktur digital melalui model asset-light berasaskan automasi yang disokong ekosistem rakan antarabangsa.
Syarikat itu kini beralih ke arah platform Telco-as-a-Service (TaaS) yang menggabungkan kesalinghubungan, akses awan, perkhidmatan terurus dan orkestrasi infrastruktur digital. – UTUSAN










