PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), optimis prospek pasaran hartanah negara kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan yang lebih bersasar tahun ini.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Azrudyn Rashid berkata, UDA percaya perkembangan ini didorong oleh pelbagai inisiatif utama yang telah dan sedang dilaksanakan Kerajaan Madani dalam merangsang pemilikan hartanah serta mengekalkan kestabilan pasaran domestik.
“Keyakinan ini turut diperkukuhkan menerusi komitmen terhadap sokongan reformasi struktur di bawah Kerangka Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertujuan memperkukuh tadbir urus, memacu pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Antara inisiatif termasuk pelaksanaan pembangunan Residensi Madani, pelanjutan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000.
“Selain itu, pengenaan duti setem ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing bagi menggalakkan pasaran yang lebih seimbang serta menggalakkan institusi kewangan untuk menyokong pelaksanaan skim sewa-beli rumah serta skim bina-kemudian-jual,” katanya.
Menurutnya, sepanjang 2025, pasaran hartanah negara dilapor mencatatkan aktiviti pasaran yang stabil dengan peningkatan nilai transaksi, namun tetap menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh menjelang suku ketiga.
“Fenomena ini menandakan pasaran yang semakin berdaya tahan serta berterusan berkembang secara berperingkat dalam menghadapi cabaran pasaran khususnya dalam segmen kediaman dan hartanah berkualiti..
“Kami komited untuk memaksimumkan prestasi kewangan serta memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memanfaatkan pihak berkepentingan secara menyeluruh bagi terus memenuhi mandat yang dipertanggungjawabkan seterusnya menyokong aspirasi kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada masyarakat,” katanya.
Katanya, tekad ini selari dengan ulang tahun ke-55 serta aspirasi ‘UDA Memenuhi Impian’ tahun ini.
Tahun lalu, UDA berjaya melancarkan enam projek pembangunan hartanah termasuk Kedai Kos Sederhana (KKS) UDA Vista yang bernilai RM200,000 seunit dan Residensi Akasia Raya yang ditawarkan pada RM300,000 seunit di mana 351 unit diperuntukkan kepada penjawat awam melalui kerjasama UDA bersama Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), dengan subsidi sehingga RM60,000 bagi setiap unit.
Tambahnya, fokus UDA pada 2026 dalam pembangunan hartanah pula adalah memenuhi keperluan perumahan yang berkualiti, strategik dan mampu milik yang menawarkan gaya hidup berteraskan kelestarian.
“Tahun ini, kami berhasrat melancarkan hampir 1,000 unit pembangunan kediaman dan ruang komersial melalui tiga projek di Johor Bahru, Johor serta masing-masing satu projek di Ipoh, Perak dan Pekan, Pahang.
“Dalam meneruskan usaha memperkasa pembangunan usahawan bumiputera, UDA akan memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta yang dijangka memanfaatkan lebih 600 usahawan kecil dan sederhana di seluruh negara sekali gus menyokong agenda Teras D Kuskop dalam aspek perluasan akses pasaran dan adaptasi teknologi.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyediaan ruang niaga, peluasan akses pasaran serta pengukuhan rantaian bekalan, antaranya melalui Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) yang menawarkan kemudahan sewaan dan tapak sementara bagi menyokong kemasukan serta kelangsungan perniagaan usahawan kecil dan sederhana,” katanya. – UTUSAN










