Syarat lantai harga EV CBU RM250,000

Syarat lantai harga EV CBU RM250,000: Lindungi industri tempatan atau sekat persaingan?

EV
SYARAT kemasukan EV CBU bermula 1 Julai 2026 dan perubahan itu dijangka memberi kesan besar apabila harga runcit berpotensi naik sekurang-kurangnya RM300,000. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DASAR baharu yang menetapkan kende­r­a­an elektrik (EV) im­port sepenuhnya (CBU) hanya boleh di­ta­warkan pada harga melebihi RM250,000 membuka perdebatan besar dalam landskap automotif negara. 

Ini susulan laporan merujuk kepada dokumen pekeli­ling Lesen Import (AP) Francais mengenai perubahan besar terhadap kemasukan EV CBU yang mendakwa kenderaan itu tidak boleh dijual di bawah harga RM250,000 bermula tahun ini.

Langkah ini sering ditafsirkan sebagai strategi dasar industri untuk menjaga industri EV tempatan, menggalakkan pemasangan tempatan (CKD), menarik pelaburan serta membina rantaian bekalan EV domestik. 

Pada masa yang sama, timbul persoalan tentang tahap persaingan pasaran, pilihan pengguna dan kadar peralihan Malaysia ke arah mobiliti rendah karbon.

Dalam konteks transformasi industri automotif global yang semakin pantas, had harga ini bukan sekadar isu komersial, tetapi mencerminkan pende­ka­tan dasar negara dalam meng­imbangi pembangunan industri tempatan dengan keter­bukaan pasaran.

Presiden Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, pendekatan itu sebagai gabungan strategi pembangunan industri dan perlindungan pasaran.

Katanya, operasi CKD di Malaysia masih belum mencapai skala ekonomi seperti kilang besar di luar negara, khususnya di China. 

“Dalam keadaan pasaran terbuka sepenuhnya, kilang tempatan sukar bersaing dari segi kos, sekali gus menyukarkan usaha menarik pelaburan baharu dalam pengeluaran EV tempatan.

“Tanpa had harga ini, pela­buran dalam kilang CKD akan men­jadi lebih sukar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, perlindungan pasaran turut membawa risiko kepada dinamik industri EV dalam negara. 

Jelasnya, terdapat risiko bahawa tanpa persaingan langsung daripada pemain global uta­ma, industri automotif tempatan akan lambat berinovasi dan memerlukan lebih banyak sokongan kerajaan untuk terus bertahan.

“Jika harga lantai kembali ke paras terendah harga RM100,000 pastinya akan me­ningkatkan persaingan. 

“Perkara yang paling pen­ting ialah mempunyai dasar jangka panjang yang lebih jelas. Pelabur untuk pembuatan automotif dan infrastruktur EV boleh membuat keputusan jangka panjang yang lebih baik dan cekap dengan kurang ketidakpastian peraturan,” jelasnya.

Dari sudut pelaburan pula, Shahrol Azral berkata, daya tarikan utama Malaysia kepada pengeluar global kekal terletak pada permintaan domestik yang kukuh terhadap kenderaan baharu.

“Tarikan utama pelaburan dalam kilang-kilang CKD di Malaysia adalah akses kepada minat pengguna yang agak besar terhadap kereta baharu, sama seperti dasar industri automotif kami untuk kereta enjin pembakaran dalaman (ICE).

“Dasar AP Francais yang dikemas kini tidak termasuk semua import CBU di bawah RM250,000. Ini diharapkan dapat menggalakkan pengeluar untuk menubuhkan lebih banyak operasi CKD di Malaysia, untuk model volum tinggi di bawah RM250,000,” jelasnya.

Mengulas kesan terhadap peralihan negara ke arah mobiliti rendah karbon, beliau berkata, faktor utama yang menentukan kadar peralihan kepada EV masih tertumpu kepada harga pembelian dan ketersediaan infrastruktur pengecasan. 

Beliau menjangkakan beberapa model EV mampu milik akan dipasang secara CKD di Malaysia, sekali gus mengekalkan momentum pasaran.

Sebaliknya, beliau menegaskan cabaran lebih mendesak ialah pembangunan infrastruktur pengecasan awam berskala besar, khususnya di lebuh raya, yang masih belum mencukupi untuk menyokong pertumbuhan pengguna EV semasa.

“Model yang lebih mampu milik seperti Proton e.MAS 5 dan 7 serta Leapmotor B10 dan C10 akan dikeluarkan secara CKD. BYD juga mempunyai rancangan untuk mengeluarkan secara CKD model popular mereka.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah kadar penggunaan infrastruktur pengecasan awam besar-besaran di sepanjang lebuh raya kita. 

“Infrastruktur semasa terbukti tidak mencukupi, terutamanya semasa tempoh perjalanan yang padat. Ini merupakan faktor besar yang menghalang peralihan EV,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN