PETALING JAYA: Keputusan kewangan suku keempat 2025 menunjukkan momentum lebih kukuh dengan sektor sarung tangan getah dan teknologi menjadi pemacu utama prestasi korporat yang mengatasi jangkaan penganalisis.
Menurut CIMB Securities, sehingga 19 Februari 2026, sebanyak 30 peratus daripada syarikat di bawah liputannya melaporkan keuntungan melebihi jangkaan, manakala 59 peratus lagi memenuhi ramalan pasaran.
Katanya, nisbah syarikat yang mengatasi jangkaan berbanding yang gagal (beat-to-miss) melonjak kepada 2.7 kali, mencerminkan peningkatan ketara berbanding hanya 0.78 kali pada suku ketiga.
“Peningkatan prestasi ini sejajar dengan pengurusan operasi yang efisien serta kawalan kos yang lebih baik oleh syarikat-syarikat tersebut bagi mengukuhkan margin keuntungan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam sektor sarung tangan getah, Top Glove Corp Bhd. mencatatkan keuntungan melebihi jangkaan hasil kos bahan mentah yang rendah, manakala Hartalega Holdings Bhd. mendapat manfaat daripada pengoptimuman kos operasi.
Sektor teknologi turut mempamerkan prestasi positif melalui Malaysian Pacific Industries Bhd. yang meraih margin lebih baik, manakala VS Industry Bhd. merekodkan peningkatan pesanan pelanggan bagi operasi di Malaysia.
Sementara itu, bagi sektor pengangkutan dan hartanah, Westports Holdings Bhd. mencatatkan keuntungan kukuh hasil penjimatan kos elektrik, sementara IGB REIT menerima sumbangan tinggi daripada aset baharu di Mid Valley Southkey Mall.
“Walaupun pasaran secara keseluruhan berada pada landasan positif, beberapa syarikat seperti Bursa Malaysia Bhd. dan SKP Resources Bhd. masih menghadapi cabaran dan melaporkan keputusan di bawah jangkaan,” katanya.
Berikutan perkembangan tersebut, CIMB Securities menaik taraf penilaian saham AEON Credit Service (M) Bhd., CelcomDigi Bhd. dan Eco World Development Group Bhd kepada saranan ‘beli’.
Bagaimanapun, firma itu menurunkan penarafan terhadap 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd. dan Fraser & Neave Holdings Bhd. kepada ‘pegang’ memandangkan harga saham semasa telah mencerminkan nilai fundamental syarikat.
Cimb Securities kekal optimis terhadap syarikat eksport kerana keupayaan mereka mengekalkan margin keuntungan melalui inisiatif operasi yang berkesan meskipun berdepan pengukuhan nilai ringgit.
“Secara keseluruhan, trajektori keuntungan syarikat yang berterusan dijangka menyokong sentimen pasaran dengan sasaran akhir tahun FBM KLCI dikekalkan pada paras 1,772 mata,” katanya. – UTUSAN










